Kenyataan Akhbar Pakatan Rakyat
28 Ogos 2008
Pertemuan Pertama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Dipengerusikan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan Pertemuan Pertama dengan dipengerusikan Ketua Pembangkang Baru, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada pukul 11:00 pagi di Pejabat Ketua Pembangkang di tingkat 14, Bangunan Parlimen hari ini, Khamis 28 Ogos 2008.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Pas, YB Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, YB Karpal Singh. Selain itu, pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti turut hadir iaitu YB Azmin Ali dan YB Dr Lee Boon Chye dari PKR; YB Nasharuddin Mat Isa, YB Kamarudin Jaafar dan YB Salahuddin Ayub dari PAS sementara YB Lim Kit Siang, YB Lim Guan Eng dan YB Teresa Kok mewakili DAP.
Dalam pertemuan tersebut Dato’ Seri Anwar mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat yang telah bertungkus lumus membantu dalam memastikan Parlimen Permatang Pauh kekal di tangan Pakatan Rakyat. Kemenangan besar dan bilangan pengundi yang tinggi di Permatang Pauh adalah bukti nyata penolakan rakyat terhadap politik perkauman budaya fitnah dan politik wang.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat buat kesekian kalinya mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan semangat kerjasama di dalam Pakatan Rakyat. Dalam pertemuan tersebut juga semua pihak bersepakat untuk mengadakan Perhimpunan Pakatan Rakyat Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan di Permatang Pauh pada 31 Ogos 2008 pada pukul 9:00 malam.
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden PKR
bagi pihak Sekretariat Pakatan Rakyat
No comments
Post a Comment