Hari penentuan 'juara' Permatang Pauh sudah bermula
Sebentar tadi, pukul 8 pagi ini, lebih 58,000 pemilih sudah mula keluar mengundi untuk menentukan wakil rakyat baru mereka selepas kempen 10 hari yang memperlihatkan perjalanan kempen yang tenang tetapi agak panas dengan pelbagai tuduhan, kecaman dan kritikan.
Pengundi Permatang Pauh telah dinasihatkan supaya keluar mengundi lebih awal ketika cuti umum diisytiharkan di seluruh Pulau Pinang.
Lebih 10 isu nasional dan puluhan masalah tempatan diletakkan oleh calon-calon yang bertanding sejak 16 Ogos lalu.
Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar - 69.49 peratus Melayu, Cina 24.56 peratus, India 5.79 peratus dan lain-lain 0.13 peratus.
Kira-kira 15 peratus pemilih merupakan mereka yang tinggal di luar Permatang Pauh.
Pengundian akan ditutup 5 petang manakala keputusan dijangka diketahui antara 8 dan 9 malam ini.
Sebanyak 110 saluran di 28 pusat mengundi disediakan untuk tujuan pengundian.
Seramai 490 anggota polis sudah membuang undi secara pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada Sabtu lalu.
Semua kertas undi yang telah dikira di saluran-saluran mengundi akan dibawa ke Pusat Pengumpulan Undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini sebelum keputusan diumumkan. Ia juga merupakan tempat penamaan calon hari itu.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.
Walaupun terdapat pertarungan tiga penjuru tetapi persaingan sengit adalah melibatkan Anwar dan Arif Shah - yang pernah menduduki platform politik yang sama satu dekad yang lalu.
Arif Shah mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya II pada pukul 8 pagi manakala Anwar membuang undi di Sekolah Rendah Seri Penanti pada pukul 9 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail iaitu bekas penyandang kerusi itu dari 1999 hingga 31 Julai lalu.
Dalam pada itu, Hanafi walaupun bertanding di sini tetapi tidak mengundi kerana beliau merupakan pengundi kawasan Tanah Merah, Kelantan.
Pilihan raya kecil diadakan ekoran keputusan Dr. Wan Azizah, yang menang dengan majoriti 13,388 undi selepas memperoleh 30,338 undi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang memperoleh 16,950 undi mengosongkan kerusi itu.
Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 yang dimenanginya atas tiket BN, mahu mendapatkan semula kerusi itu menerusi PKR yang merupakan anggota komponen Pakatan Rakyat.
Ketiga-tiga calon yang bertanding memberitahu semalam bahawa pihaknya yakin akan memperoleh kemenangan walaupun berhadapan dengan cabaran dan halangan.
Bagi Anwar, selain mahu mempertahankan kubu kuat PKR di kawasan itu, pilihan raya kecil tersebut juga merupakan titik permulaan untuk menubuhkan 'kerajaan baru' bersama gabungan parti pembangkang Pakatan Rakyat.
"Ke Putrajaya Bermula di Permatang Pauh" - ini moto kempen Anwar dengan bertemakan "Merdekakan Rakyat".
Arif, bekas Ketua Pemuda Umno ketika Anwar menjadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh meletakkan moto "Di Sini Untuk Permatang Pauh".
Semalam beliau berkata, sokongan menunjukkan arah aliran peningkatan dan peluang untuk menang.
Begitu juga Hanafi atau turut dikenali sebagai "Haji Pi" yang menganggap pemilih Permatang Pauh sudah mula menerima kehadiran beliau.
Pilihan raya kecil ini membuka tirai pengundian dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menyiasat dakwaan PKR mengenai kehilangan sebanyak 944 nama pengundi daripada daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, SPR akan menyiasat mengenai dakwaan itu daripada bahagian maklumat komputernya sebelum membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.
Kamaruzaman berkata, pilihan raya kecil Permatang Pauh esok akan mengguna pakai Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Julai dan dikemaskini pada 31 Julai lalu.
Kamaruzaman berkata, bagi warganegara yang berumur 21 tahun ke atas yang baru memohon didaftarkan sebagai pemilih pada 1 April lepas tidak boleh mengundi kerana nama mereka belum disenaraikan dalam daftar pemilih itu.
Dalam pada itu, polis memberikan jaminan pilihan raya kecil adakan dengan lancar dan tenang.
Jaminan itu diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, dengan berkata, jumlah anggota polis yang ditugaskan pada pilihan raya kecil itu adalah mencukupi untuk mengawal sebarang keadaan sepanjang pengundian berlangsung.
"Kami sudah membuat persiapan rapi bagi pilihan raya kecil ini dan anggota kami akan memantau keadaan 24 jam.
"Pengundi tidak perlu bimbang semasa mengundi. Semuanya terkawal. Hanya patuhi peraturan dan semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya kepada Bernama.
Ismail turut menasihatkan semua penyokong parti politik untuk tidak saling melakukan provokasi pada hari pengundian.
No comments
Post a Comment