Usah pertikai ketelusan SPR: Wan Ahmad

BUKIT MERTAJAM: Calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tiada sebab untuk mempertikai ketelusan dan keadilan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau menegaskan, perkara itu terbukti kerana keputusan pilihan raya kecil kali ini menunjukkan calon yang menang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meraih majoriti besar untuk menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Keputusan pilihan raya kecil ini, dengan majoriti besar berbanding pada pilihan raya umum lalu membuktikan bahawa ia dikendalikan secara adil dan telus.

“Sepatutnya tiada pihak pertikai SPR dengan keputusan pilihan raya kecil ini," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini, malam tadi.

Wan Ahmad berkata, SPR berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan pilihan raya kecil itu walaupun berlaku beberapa masalah terutama kesesakan lalu lintas.

“Mengambil kira pilihan raya kecil ini diadakan pada hari bekerja, bagi SPR, ia satu proses yang berjalan lancar dan sempurna walaupun terlalu ramai penyokong parti hadir memberi sokongan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.