Hari pertama di Parlimen Anwar sudah tunjuk taring

AHLI-ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat selepas permintaan mereka berhubung Rang UndangUndang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 hari ini ditolak. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Beliau baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pagi ini, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menunjukkan taringnya dalam Dewan Rakyat ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008.

Anwar, yang juga baru dilantik sebagai Ketua Pembangkang, bangun selepas Datuk
Tajuddin Abdul Rahman (BNPasir Salak) mencelah perbahasan Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) untuk bertanya sama ada Majlis Peguam masih merupakan badan yang 'mempunyai kredibiliti' untuk memberikan pandangan mereka berhubung rang undang-undang itu selepas pelbagai kontroversi berhubung badan peguam itu.

Mempertahankan pandangan Dr. Siti Mariah bahawa pendapat badan peguam itu perlu dirujuk dalam merangka rang undang-undang itu, Anwar sebaliknya secara sinis bertanya anggota dewan itu tidakkah kerajaan yang korup lebih rendah kredibilitinya berbanding badan peguam itu.

"Ini, kerajaan yang membentangkan rang undang-undang ini Isnin lepas tanpa memberi peluang kepada anggota Parlimen, termasuk rakan-rakan di sebelah sana (BN) untuk mengkajinya, dan membentangkannya dengan tergesa-gesa.

"Rang undang-undang ini dipersetujui oleh orang politik yang rakus tapi dibantah semua pakar, badan bukan kerajaan, bukan sahaja Majlis Peguam tetapi juga badan-badan hak asasi manusia... ternyata kerajaan dan Kabinet hari ini takut benar dengan suara rakyat," kata beliau dipetik Bernama.


Rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan sejak Selasa lepas mendapat tentangan daripada anggota Parlimen pembangkang yang mempersoalkan mengapa ia dibentangkan secara tergesa-gesa selain dakwaan bahawa pembentangan rang undang-undang itu mempunyai motif politik dan berhubung kait dengan kes liwat yang dihadapi Anwar.

Kata-kata Anwar itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen lain termasuk Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) turut bangun untuk mencelah, sehingga tercetus perang mulut antara Lim dan Tajuddin berhubung isu itu.

Bagi meredakan keadaan itu, Dr. Siti Mariah mengambil jalan tengah dengan menyatakan bersetuju dengan pendapat semua pihak, termasuk Tajuddin sendiri.

Dalam pada itu, kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dari Dewan Rakyat kira-kira pukul 5.43 petang apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar enggan menurut desakan mereka supaya Rang Undang-undang Identifikasi DNA dibawa ke Jawatankuasa Pilihan untuk dikaji.

Azmin Ali (PKR-Gombak) pada mulanya bangun meminta Syed Hamid menyatakan pendiriannya sama ada rang undang-undang tersebut dibawa ke Jawatankuasa Pilihan.

Syed Hamid bagaimanapun mengambil keputusan tidak mahu menjawabnya dan hal itu turut disokong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan seorang menteri berhak untuk tidak menjawab soalan.

Wan Junaidi seterusnya mengemukakan masalah untuk membuat undi belah bahagi bagi membawa rang undang-undang tersebut ke peringkat jawatankuasa dengan mengambil kira segala pandangan yang telah dikemukakan ahli-ahli Parlimen sepanjang tiga hari sesi perbahasan rang undang-undang itu berlangsung.

Hal itu menimbulkan kekecohan selama kira-kira 15 minit yang menyaksikan ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat bertikam lidah.

Azmin kemudiannya mengajak semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar Dewan tindakan mereka didahului oleh Anwar sambil disorak oleh ahli-ahli Parlimen BN.

Sejak rang undang-undang tersebut dibacakan kali kedua untuk dibahaskan Selasa lalu, kebanyakan ahli Parlimen terutamanya daripada Pakatan Rakyat meminta rang undang-undang tersebut dikaji semula kerana didapati mempunyai banyak kelemahan yang didakwa mereka akibat dibuat secara tergesa-gesa.

Ia akan dibawa untuk bacaan kali ketiga esok selepas pembentangkan Bajet 2009 oleh Perdana Menteri.

No comments

Powered by Blogger.