Abdullah: Jangan salah tafsir keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh

JOHOR BAHARU: Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang dimenangi penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh ditafsirkan sebagai satu trend yang boleh berlaku di kawasan-kawasan lain, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) yang memenangi 140 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas masih mendapat sokongan kuat daripada rakyat.

"Apa yang berlaku di Permatang Pauh bukanlah sesuatu yang terlalu besar untuk mengubah situasi yang telah pun berlaku pada pilihan raya umum yang lalu.

"Pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya satu pilihan raya kecil yang tidak boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang boleh berlaku di kawasan-kawasan lain. Saya percaya kami masih boleh terus mentadbir kerajaan," kata Abdullah yang juga pengerusi BN kepada pemberita selepas mengucapkan selamat jalan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Senai di sini.

Anwar memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam dengan majoriti 15,671 undi, memperoleh 31,195 undi berbanding calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang mendapat 15,524 undi.

Seorang lagi calon, Hanafi Mamat, 61, daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) hilang wang pertaruhan selepas hanya mendapat 92 undi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar, Abdullah berkata kemenangan itu sememangnya sudah dijangkakan oleh banyak pihak memandangkan kawasan itu dianggap sebagai kawasan Anwar sejak dahulu lagi dan untuk dua penggal kawasan itu diwakili isterinya (Anwar) Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail), maka sekarang ini kawasan itu telah balik kepada beliau.

Katanya walaupun kekalahan itu teruk tetapi calon BN tidak hilang deposit manakala cita-cita Anwar untuk menang dengan majoriti lebih 17,000 undi juga tidak tercapai.

Abdullah juga menolak tanggapan bahawa kemenangan Anwar dipengaruhi oleh propaganda pemimpin parti pembangkang itu untuk menjadi Perdana Menteri jika memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Saya ingat bukan itu (yang mendorong kemenangan beliau). Ada perkara lain yang telahpun dijanjikan sama ada nak turun harga minyak, sama ada yang berkaitan isu-isu kaum yang ada dalam negara kita ini yang pada pandangan saya menarik perhatian golongan tertentu," katanya.

Perdana Menteri juga menolak kemungkinan anggota Parlimen BN akan bertindak keluar parti sepertimana yang diuaruarkan oleh Anwar untuk menyertai pembangkang bagi membentuk kerajaan berikutan kemenangan pemimpin PKR itu.

"Tak ada, ahli BN takkan tinggal(kan) BN begitu saja. Kalau ada masalah dalam parti kita selesaikan dalam parti," katanya.

Abdullah menegaskan perkara paling penting bagi BN ialah menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

"Kita mesti meneruskan dan bekerja untuk melaksanakan begitu banyak perkara yang perlu dilaksanakan dan memerlukan perhatian (untuk menyelesaikan) masalah yang timbul berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan makanan dan juga isu lain. Isu-isu itu kita perlu selesaikan," katanya.

Menjawab soalan berkenaan dakwaan kegagalan BN merampas kerusi Permatang Pauh juga berpunca daripada ketiadaan sokongan anggota BN sendiri di kawasan itu, Abdullah berkata setiap pengundi mempunyai sebab masing-masing semasa memilih wakil mereka.

Katanya BN akan menganalisis keputusan pilihan raya kecil itu bagi mengenal pasti kecenderungan pengundi sebelum mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu sebenar yang menjadi punca pengundi menolak BN. BERNAMA

brapa kali analisis dah hahaha..

No comments

Powered by Blogger.