Anwar membuang undi di Sekolah Rendah Seri Penanti

Sebanyak 110 saluran di 28 pusat mengundi disediakan untuk tujuan pengundian.

Seramai 490 anggota polis sudah membuang undi secara pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada Sabtu lalu.

Semua kertas undi yang telah dikira di saluran-saluran mengundi akan dibawa ke Pusat Pengumpulan Undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini sebelum keputusan diumumkan. Ia juga merupakan tempat penamaan calon hari itu.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

Walaupun terdapat pertarungan tiga penjuru tetapi persaingan sengit adalah melibatkan Anwar dan Arif Shah - yang pernah menduduki platform politik yang sama satu dekad yang lalu.

Arif Shah telah mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya II pada pukul 8 pagi. Beliau memasuki pusat pengundian pukul 8 pagi bersama isteri dan anaknya dan keluar 15 minit kemudian.

Anwar membuang undi di Sekolah Rendah Seri Penanti pada pukul 9 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail iaitu bekas penyandang kerusi itu dari 1999 hingga 31 Julai lalu.

Dalam pada itu, Hanafi walaupun bertanding di sini tetapi tidak mengundi kerana beliau merupakan pengundi kawasan Tanah Merah, Kelantan. - MStar

No comments

Powered by Blogger.