Blogger, Polis Dan Undang-Undang

SAYA faham dan sokong tindakan Saudara Abu Bakar Mohd Rashid aka Bakaq aka blogger Penarik Beca memohon maaf kepada pasukan polis dan menyesali kesilapannya.

Dalam SMSnya kepada rakan-rakan blogger semalam, Abu Bakar, 50 tahun, berkata:

"I would like to say that I regret putting the crest there. It was wrong, a stupid mistake. I would like to tender my sincere apology to the whole police force.

"I defended and still defend what I wrote but since the first moment they hauled me in, I've said without any reservation that I regretted having copied-and-pasted the image."

(Saya ingin menyatakan yang saya kesal meletakkan lambang di situ. Ia adalah kesilapan, satu kesilapan yang bodoh. Saya ingin memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua anggota pasukan polis.

“Saya telah mempertahankan dan masih mempertahankan apa yang saya tulis daripada saat saya ditangkap. Saya telah menyatakan tanpa sebarang keraguan yang saya kesal (perbuatan saya) menyalin dan menampalkan imej itu.”)

Menurut Saudara Rockybru, Abu Bakar dibebaskan jam 5.30 petang semalam setelah ditahan selama kira-kira 40 jam di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Abu Bakar berkata dia sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1), Akta Hasutan, bersabit penyiaran lambang Polis di-Raja Malaysia dalam posting bertajuk “Kenapa Tak Saman Raja Petra?”

Saya berpandangan dan pendirian saya adalah seperti berikut:

1. Blogger, seperti sesiapa sahaja yang menulis dan mencetak, adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara;

2. Adalah menjadi kesalahan dan tidak bijak mempersendakan lambang dan lembaga rasmi seperti bendera negara, bendera negeri, panji-panji pasukan tentera dan polis, lambang Raja-Raja, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri;

3. Kita boleh tidak setuju dan mengkritik mana-mana cabang pemerintahan, tetapi kritikan kita itu biarlah berlapik dan tidak melanggar undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;

4. Kita boleh tidak bersetuju dengan Kerajaan, dengan Barisan Nasional, dengan Umno, dengan Pakatan Rakyat, dengan Perdana Menteri dan dengan sesiapa sahaja yang berkuasa, tetapi kita tidak boleh menghina atau merosakkan simbol-simbol dan lambang-lambang rasmi negara;

5. Kalau kita marahkan BN atau Abdullah Ahmad Badawi, kita terbalikkanlah mereka melalui proses demokrasi dan atas landasan undang-undang seperti yang dilakukan oleh veteran Umno Mazlan Harun yang membuat laporan Badan Pencegah Rasuah menuduh Abdullah dan timbalannya, Mohd Najib Abdul Razak, menyalahgunakan kuasa dalam pemilihan Umno;

6. Kalau itu tidak memadai, pada pilihan raya umum akan datang kita terbalikkan mereka;

7. Kenapa hendak diterbalikkan bendera kebangsaan atau memboikot perayaan ulang tahun kemerdekaan negara kerana kita marahkan kerajaan atau tidak puas hati dengan apa yang sedang berlaku sekarang?

8. Kalau para blogger mahu diyakini dan dihormati, mereka kenalah bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang dan peraturan walaupun mereka tidak bersetuju dengannya;

9. Berkempenlah dengan sekuat-kuat hati agar undang-undang dan peraturan yang tidak disenangi itu dipinda atau dimansuhkan;

10. Mengenai tuduhan terhadap pengamal media massa arus perdana pula, sebagai bekas pekerja media massa arus perdana, saya dengan segala rendah diri dan kesedaran, ingin menyatakan bahawa bukan semua petugas media massa arus perdana tidak baik, berdusta atau menyokong pemerintah membuta-tuli;

11. Kita kenalah mengakui hakikat bahawa mereka makan gaji. Akhbar, agensi berita dan stesen radio serta televisyen yang mereka kendalikan itu bukan milik mereka tetapi milik kerajaan, milik Umno, milik MCA, milik MIC dan pelbagai parti politik lagi yang ada agenda masing-masing;

12. Kita yang jadi blogger ini pun buka semuanya bebas. Ada juga yang makan gaji mengendalikan blog orang, pihak atau parti tertentu;

13. Hanya blogger bebas (independent bloggers) yang bebas menyatakan pandangan peribadi kerana kita tidak diupah oleh sesiapa malah kita menggunakan masa, kelengkapan dan wang ringgit sendiri untuk menyelenggarakan blog kita;

14. Kalau kita terima iklan misalnya, kita tidak lagi bebas kerana kita terhutang budi kepada pengiklan kita dan tidak menulis sesuka hati mengenai mereka. (Oleh sebab itulah blog ini menolak tawaran daripada pengiklan dan ejen pengiklanan.);

15. Mengenai lambang PDRM, saya rasa ia sangat mulia kerana ada padanya nama Allah dan Muhammad (SAW). Justeru itu, kalau setiap anggota PDRM menghayati lambang pasukan mereka, saya yakin PDRM akan menjadi pasukan penguat kuasa yang cekap, bersih dan amanah, diredai serta dilindungi oleh Allah Taala;

16. Kerana itu, tidak eloklah bagi sesiapapun mempersendakan nama-nama suci agama Islam pada lambang PRDM itu; dan

17. Mengenai anjing pula, saya sentiasa menganggapnya sebagai haiwan yang “mulia” kerana jasa baktinya. Dalam PDRM pun ada beratus-ratus anggota polis berkaki empat yang mengorbankan nyawa (dan bebas rasuah) demi menjaga keselamatan anggota berkaki dua PDRM dan kita semua.

Kesimpulannya, eloklah para blogger berhati-hati, rasional dan menggunakan kebebasan dengan bijaksana dan membina. Para pengulas dan pendebat blog pula hendaklah bertimbang rasa dan berhati-hati agar komen-komen mereka tidak menimbulkan masalah kepada pemilih blog.
http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.