Guru lepasan IPTA tak didiskriminasi

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran tidak pernah mendiskriminasikan guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khususnya dalam proses penempatan mereka di sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata diskriminasi tidak timbul kerana sudah dipersetujui sebelum ini guru lepasan IPTA ditempatkan di sekolah menengah dan lepasan institut pendidikan guru (IPG) ditempatkan di sekolah rendah selepas tamat pengajian.

“Kita mempunyai saluran untuk membincangkan masalah ini. Malah, kita sudah mengadakan Seminar Permuafakatan Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.


“Ia jelas menunjukkan komitmen kedua-dua kementerian untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem penyampaian kualiti dalam sektor pendidikan pada peringkat sekolah mahupun IPT,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin wujud diskriminasi kerana graduan IPTA perlu melalui pelbagai prosedur, termasuk syarat mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) melebihi 2.75 untuk layak mengambil ujian dan temu duga, sedangkan lepasan IPG ditempatkan terus ke sekolah.

Beliau berkata, masalah itu mengakibatkan kemerosotan minat bakal pemohon dan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di IPTA untuk menjadi guru.

No comments

Powered by Blogger.