Hentikan spekulasi calon BN di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM 8 Ogos - Semua pihak diminta menghentikan spekulasi mengenai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, UMNO dan BN perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk merancang dan memperkemas jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Katanya, persoalan siapa bakal menjadi calon BN tidak seharusnya dijadikan perdebatan, sebaliknya membiarkan pucuk pimpinan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat keputusan.

"Tunggulah, sekarang bukan lagi masa untuk bercakap soal siapa calon, tumpukan perhatian kepada jentera parti. Pastikan kita bersedia," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat dengan pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang di sini hari ini.

Muhammad diminta mengulas mengenai timbulnya pelbagai spekulasi yang tersebar termasuk di kalangan ahli UMNO bahagian Permatang Pauh mengenai calon BN yang akan menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya, beliau percaya ketetapan mengenai calon BN akan diperhalusi oleh jawatankuasa di peringkat pucuk pimpinan BN dan akan diumumkan selepas berbincang dengan semua pihak termasuk UMNO di peringkat bahagian.

"Siapa juga calon, kita akan sokong dan tumpuan perlu diberikan untuk persediaan pilihan raya. Keutamaan kita ialah memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, UMNO dan BN perlu menjelaskan kepada rakyat terutamanya di Permatang Pauh mengenai segala tuduhan dan dakyah yang dilemparkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan mempunyai fakta untuk menangkis segala kekeliruan yang ditimbulkan Anwar, khususnya yang menyentuh dasar dan polisi kerajaan.

No comments

Powered by Blogger.