Kelantan buktikan ulama mampu mentadbir


IPOH, 14 Ogos (Hrkh) - Tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa golongan ulama tidak mampu mentadbir negara dan hanya layak berperanan di surau-surau ternyata tidak benar.

Tanggapan tersebut dengan sendirinya terhakis apabila dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu, Kelantan sekali lagi diberi kepercayaan rakyat berbilang kaum di negeri itu untuk memerintah.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Haji Muhammad Daud Iraqi, berkata kemenangan di Kelantan sejak 18 tahun lalu membuktikan bahawa golongan ulama ataupun yang disebut ‘pak lebai’ mempunyai keupayaan setanding dengan orang lain.

“Kejayaan Kelantan di bawah kepimpinan ulama, iaitu Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya menghapuskan satu ajaran salah yang dianuti rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa ulama tidak layak mentadbir negara,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-47, di Dewan Bandaran Ipoh, pagi ini.

Beliau berkata lebih dari itu, kepimpinan Ustaz Nik Abdul Aziz di Kelantan berjaya membuktikan rakyat bertambah selesa, walaupun negeri diselubungi pelbagai tohmahan dan kezaliman dari kerajaan pusat.

Sehubungan itu, Ustaz Daud menyeru Dewan Ulama di negeri-negeri lain segera mengkaji kemenangan PAS di Kelantan agar dapat dimanfaatkan di negeri-negeri lain, di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau turut menimbulkan persoalan berkenaan Lajnah Ulama Pelapis dalam usaha meneruskan sumbangan dan pejuangan kepada PAS.

“Saya mencadangkan agar pihak lajnah menyediakan kertas lengkap tentang perkara ini, beberapa perkara utama perlu diambil perhatian, antaranya koordinasi yang lebih baik dengan Dewan Pemuda PAS.

Kita tidak mahu mereka yang melepasi umur 40 tahun atau 58 tahun (selepas pencen) sahaja yang menyertai Dewan Ulama PAS,” tegas beliau di hadapan kira-kira 500 perwakilan dan pemerhati.

Sementara itu, muktamar ulama bermula jam 9 pagi dengan bacaan ayat suci al- Quran oleh Ustaz Muhammad Radzi Qamarul Hailan, juara qari Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan juri bahagian taranum, Akademi al-Quran, TV9.

http://www.harakahdaily.net

No comments

Powered by Blogger.