Merapu Dan Karipap Basi.. Part 23

Syed Hamid: Anwar bukan ancaman tapi menyusahkan suara majoriti

07-08-2008 07:40:32 PM

PETALING JAYA: Kerajaan tidak menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara tetapi “dia membawa kesusahan kepada golongan teramai”, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

“Saya tidak fikir dia (Anwar) ancaman tapi dia membawa kesusahan kepada golongan teramai (majoriti) yang perlu (juga) kita memberikan perlindungan.

“Kalau dia buat yang ini… dia orang ternama, dia seorang watak yang mempunyai kuasa untuk beretorika dengan publik, berinteraksi dengan publik secara meluas, kita kena menentukan bahawa dalam cara dia bertindak, dia tidak menyusahkan orang lain,” kata beliau dalam temu bual khas sempena lawatan ke Kumpulan The Star hari ini.

Syed Hamid menambah, kerajaan tidak bimbang untuk menghadapi ancaman politik kerana kedudukan politik adalah normal.

“Hari ini orang ini berkuasa, esok orang lain berkuasa. Itu tidak menjadi getaran,” kata beliau.

Anwar, yang hari ini didakwa atas tuduhan meliwat buat kali kedua sejak 1998, berulang kali mendakwa bahawa kerajaan berkonspirasi hendak menamatkan kerjaya politiknya.

Semalam beliau memberitahu, tindakan mendakwa hari ini dilakukan kerana mempunyai hubungan langsung dengan arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pihak berkuasa mengawal jalan raya di kawasan Lembah Klang sejak tengah malam tadi sebagai langkah berjaga-jaga menjaga keselamatan menjelang Anwar dihadapkan di mahkamah.

Tindakan yang sama diambil dua minggu lalu ekoran maklumat bahawa Anwar akan ke bangunan Parlimen, dipercayai membantah kenaikan harga minyak.

Perarakan itu dipercayai sepatutnya diadakan ketika pembangkang membawa usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri.

Sejak dakwaan meliwat dilemparkan terhadap Anwar akhir Jun lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan ciri ceramah jenayah Malaysia bagi mempertahankan kesnya, sehingga sesetengah pihak melihatnya sebagai ancaman kepada negara.

Syed Hamid juga ditanya mengenai tindakan polis membuat sekatan dan mengadakan pemeriksaan - pendekatan yang diguna pakai sejak setahun lalu.

“Saya fikir, orang yang hendak menikmati kebebasan, dia juga mahukan kebebasan, tidak mahu diganggu… jadi kita jangan hanya dari sudut kita sahaja.

“Kita tidak melihat dari sudut teramai, orang ramai… Apakah kita hendak membiarkan huru-hara (berlaku) selalu dan akhirnya semua merasakan kemudaratan dan kesusahan atau kita mengambil tindakan mengawal supaya ia tidak mencetuskan sesuatu yang buruk,” katanya.

Seolah-olah merujuk kepada tindakan penyokong Anwar membanjiri kawasan mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi ini, Syed Hamid menjelaskan, “jika seseorang pemimpin hendak pergi ke mahkamah, dia tidak perlu membawa sebuah rombongan besar, memadai jika diiringi pihak-pihak terlibat dalam kes termasuk peguam.”

“Buat apa kita hendak jemput semua orang sehingga mendatangkan, menyebabkan orang lain,” katanya.

Oleh itu, katanya, niat pasukan keselamatan adalah baik iaitu untuk mengawal keadaan buruk daripada berlaku.

Bagaimanapun Syed Hamid mengakui persepsi orang asing terhadap sudah mula berubah sejak kebelakangan dengan adanya demonstrasi dan perhimpunan membantah kerajaan.

Katanya, ada rakyat asing sudah menggambarkan Malaysia sebagai lokasi yang kurang selesa untuk dikunjungi walaupun masih selamat untuk dilawati.

“Kalau kita beri gambaran seolah-olah (Malaysia) tempat yang tidak selamat, tidak ada kestabilan politik, tiap hari orang menjerit, pada hal yang menjerit itu bukan 10 juta orang (pengundi), tapi yang menjerit itu 1,000 orang, 200 orang, 100 orang,” katanya.

http://www.mstar.com.my

No comments

Powered by Blogger.