Mustajabnya Doa Pembangkang Di Malaysia

"
Saya telah mendapat email daripada seorang kawan berkaitan dengan satu artikel yang disiarkan di dalam laman Web Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini. Tajuk tulisan ini sudah cukup menggerunkan “Doa Pembangkang Barang Naik Dimakbulkan”. Sekali baca, memang kita akan menafsirkan bahawa parti pembangkanglah yang telah berdoa kepada Allah agar harga barangan di Malaysia naik mendadak seperti yang berlaku pada hari ni.


Namun bila kita membaca keseluruhan tulisan ini, kita akan mendapati bahawa tidak sepatutnya ia disiarkan oleh laman wab Pemuda UMNO Malaysia kerana ia bagaikan tulisan yang kebudak-budakan pengolahannya.


Penulis menyatakan bahawa, disebabkan telah lebih 40 kali perkataan “BN : Barang Naik” dan seumpamanya maka Allah telah menunaikan doa tersebut sehingga hari ini harga barang naik melambung. Maknanya, rakyat perlu salahkan pembangkang kerana doa merekalah yang menyebabkan harga barangan melambung naik!.


Semalam, di dalam Konvensyen PAS Johor, saya menyebut di dalam sesi pergulungan dengan menyatakan bahawa ada dua perkara yang perlu kita lihat di dalam tulisan yang disiarkan ini.


Pertamanya, begitu rendah sekali mutu blog Pemuda UMNO sehinggakan tulisan seperti inipun disiarkan. Keduanya, pemuda UMNO mengakui bahawa doa pembangkang memang cukup mustajab sehinggakan laungan BN Barang Naik pun Allah terima sebagai doa.


Itu baru BN Barang Naik, apa akan terjadi jika ketika kempen pilihanraya yang lalu pembangkang menggunakan BN Bangkai Najis, Barua Negara, Beruk Negara dan lain-lain lagi?


Apapun, terima kasih kerana mengakui mustajabnya doa
pembangkang.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
http://www.minda-kembara.com/

Doa Pembangkang Barang Naik Dimakbulkan


Allah S.W.T maha berkuasa atas sesuatu yang ada di seluruh alam semesta. Maha suci Allah yang menjadikan sesuatu itu bersebab dan kita sebagai makhlukNya tidak mengetahui apa yang diketahui olehNya. Bermula dari kejadian manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s, Allah S.W.T telah menegaskan kepada sekalian malaikat bahawa Dia mengetahui apa yang tidak diketahui oleh malaikat dan makhluk-makhluk Allah yang lain. Segala perencanaan yang dibuat oleh Allah tiada siapa yang dapat menghalang. Namun, Allah membekalkan makhluknya dengan doa. Tiap-tiap makhluk Allah yang bernyawa diberikan kelebihan ini agar semuanya dapat berdoa memohon agar segala perencanaan yang dibuat Allah dapat dirasai nikmatnya bersama.


Besarnya nikmat doa yang Allah berikan kepada setiap makhlukNya sehinggakan Allah berjanji untuk menunaikan segala permintaan hamba-hambaNya.


Daripada permohonan doa oleh Nabi Adam a.s memohon keampunan atas dosanya melanggar perintah Allah dan dipertemukan dengan Hawa sehinggalah kepada permintaan kita, manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan melainkan akal dan nafsu. Allah pasti akan tunaikan doa yang dibuat oleh kita samada kita sedar atau tidak. Yang perlu dilakukan oleh kita, adalah bersyukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah. Walaupun demikian, ada had dan batas yang perlu kita ketahui apabila berdoa. Pengertian ‘istidraj’dan doa hamba yang soleh perlu difahami sedalam-dalamnya agar konsep berdoa tidak disalah tafsirkan.


Tidak bermakna doa yang dipohon selama ini masih tidak dirasai nikmatnya bermakna doa tidak diterima Allah. Mungkin Allah kasih akan hambaNya itu dan sentiasa mahu mendengar hambaNya itu berdoa kepadaNya. Mungkin juga hamba Allah yang tidak pernah menjalani kehidupan seorang Muslim sebenar telah termasuk dalam ‘istidraj’ oleh Allah walaupun mendapat kesenangan berlipat kali ganda sewaktu di dunia yang sementara ini. Begitu juga perlu kita fahami, apabila seseorang itu memperkatakan sesuatu ke atas orang lain berulang-ulang kali, maka itu adalah doa. Samada secara baik atau tidak.


Kefahaman kita, apabila telah melebihi 40 kali, mungkin Allah akan memakbulkan kata-kata itu. Apa yang ingin diterangkan di sini adalah betapa pembangkang terutamanya yang Muslim selama ini secara sedar atau tidak telah mendoakan sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia. Bertahun-tahun lamanya mereka memperkatakan perkara itu secara berulang-ulang kali dan mungkin telah melangkaui berjuta-juta kali. Kefahaman kita, apabila disebut berulang-ulang kali maka ia sudah jadi suatu doa. Pada hari ini, dapat kita lihat doa-doa mereka nampakkan ‘dimakbulkan’. Selama ini, pembangkang asyik dengan poster dan kata-kata “BN = Barang Naik”. Inilah yang diusung dan diperkatakan oleh mereka sewaktu siri demonstrasi dan Pilihan Raya Kecil sebelum ini. Tidak pernah terlihat oleh kita kata-kata seperti “BN : turunkan harga barang” atau “kami berdoa pada Allah semoga Kerajaan mendapat ilham untuk menurunkan harga barang”. Yang selalu didengar adalah sorakan dan pekikan “BN : Barang Naik”.


Bayangkanlah apabila ribuan orang menjerit dan memekik berulang-ulang kali,maka sudah tercapai hasrat mereka. Harga-harga barang sudah tidak dapat dikawal kenaikannya walaupun Kerajaan berusaha dengan bermacam-macam cara untuk mengawalnya. Kerajaan memberikan subsidi minyak berbillion RM setiap tahun yang akhirnya terpaksa dikurangkan kerana ‘doa mustajab’ oleh pembangkang.


Justeru, jangan dipersalahkan Kerajaan dalam soal kenaikan harga Barang kerana pembangkang sendiri yang meminta perkara ini dimakbulkan. Sepatutnya, pembangkang dan seluruh rakyat bersatu untuk sama-sama berdoa agar Kerajaan yang ada pada hari ini dapat menangani segala Permasalahan globalisasi. Pastinya dengan doa yang setulus hati kepada Allah, pasti Allah tidak akan menghampakan doa hambaNya yang sedang berada dalam kesempitan. Jangan terus berada dalam suatu keadaan apabila kita tidak dapat menerima sesuatu, maka kita marah, memaki-hamun, melontarkan fitnah yang pelbagai dan mengatakan bahawa Kerajaan yang ada pada hari ini zalim dan tidak pandai.


Ingatlah, bahawa Iblis juga marah dan tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s kerana perbezaan sumber penciptaan. Allah sendiri menegaskan bahawa Iblis dan malaikat yang lain bahawa mereka tidak mengetahui apa yang Allah ketahui. Pastinya ada hikmah disebalik setiap kejadian Allah. Hari ini pula, kita lihat bahawa doa-doa pembangkang iaitu “BN : Barang Naik” Telah dimakbulkan. Itulah punca atas kejadian dan pastinya hikmah Allah akan Ada selepas ini. Kita perlu terus berdoa untuk kebaikan negara ini dan pemimpin-pemimpinnya. Begitulah mustajabnya seutus doa.

No comments

Powered by Blogger.