Operasi Bersepadu Membanteras Gejala Lepak remaja di bandar harus diperluas ke negeri-negeri lain

ima pelajar perempuan ditahan dalam operasi

SUNGAI PETANI: “Pakcik, tolong jangan beritahu cikgu dan ibu bapa saya. Tolong lepaskan kami balik semula ke asrama sudahlah, kami takut kena tindakan.”

Itu antara rayuan lima pelajar perempuan berusia 14 dan 15 tahun yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Membanteras Gejala Lepak remaja di bandar ini, awal pagi semalam.

Kelima-lima pelajar perempuan terbabit dipercayai menyusup keluar dari asrama sebuah sekolah menengah, di sini, untuk keluar bersiar-siar sebelum ditemui dalam keadaan mencurigakan.

Pelajar tingkatan dua dan tiga itu ditahan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika cuba lari, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Sebelum ditahan, lima pelajar terbabit yang menyedari operasi dilakukan berpura-pura duduk di meja makan sebuah medan selera di tepi bangunan berhampiran jam besar di bandar ini.

Difahamkan, seramai 15 pelajar keluar kira-kira jam 11 malam melalui pagar berlubang di belakang sekolah itu tanpa disedari warden dan pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, hanya lima pelajar terbabit berjaya ditahan, manakala 10 rakan mereka lari.

Lima pelajar itu kemudian dibawa ke pejabat JKM dan diambil keterangan sebelum diserah kepada warden sekolah terbabit. Perbuatan mereka turut dilaporkan kepada ibu bapa masing-masing.

Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Mohamad Mohd Noor, berkata dalam operasi selama lima jam itu pihaknya menahan 15 remaja bawah umur, termasuk lima pelajar perempuan yang berpeleseran. “Semua remaja yang ditahan turut menjalani ujian air kencing,” katanya.

Operasi Bersepadu itu membabitkan pelbagai agensi kerajaan, antaranya termasuk polis, pejabat agama, pejabat daerah, Majlis Perbandaran Sungai Petani, PPD dan pejabat belia.

www.hmetro.com.my

No comments

Powered by Blogger.