Peralihan kuasa Pak Lah-Najib bukan rasuah


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibenarkan untuk menyiasat kes-kes politik wang menjelang pemilihan Umno pada Disember ini.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada kes-kes tertentu yang membolehkan BPR mengambil tindakan.

"Ibu Pejabat Umno telah buat penentuan dan membenarkan BPR masuk (menyiasat)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan BPR terhadap seorang Ketua Umno Bahagian bergelar Datuk dan setiausaha bahagian itu, berhubung dakwaan terbabit dalam politik wang.

Kedua-duanya yang berusia dalam lingkungan 50-an dikatakan menyogok beberapa pemimpin Umno cawangan sebanyak RM1,500 seorang bagi mendapatkan pencalonan menjelang pemilihan bahagian itu Oktober ini.

Berhubung kes itu, Abdullah berkata beliau tidak dimaklumkan siapa orangnya dan mungkin ada aspek-aspek tertentu yang memerlukan penglibatan BPR.

Sebelum ini, BPR telah menahan calon bagi ketua Umno satu bahagian di Negeri Sembilan kerana disyaki memberi sogokan RM500 kepada seorang ahli parti untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gejala politik wang kini berleluasa di peringkat mesyuarat cawangan dan jika tidak dibendung akan meletakkan Umno dalam zon bahaya, Abdullah berkata : "Saya ada dengar juga banyak cerita berkaitan dengan perkara ini."

Beliau berharap pihak yang terlibat agar menghentikannya kerana tidak ada ertinya mencari populariti dengan menggunakan politik wang.

"Tidak tulen jika sekiranya seseorang itu mendapat sokongan dan kemenangan kerana menggunakan politik wang.

"Kita hendak seseorang itu diberi sokongan atas kemampuannya, kebolehannya dan jasa-jasa yang telah terbukti membantu perjuangan parti. Duit bukan ukuran, kita jangan tersilap dalam hal ini," katanya.

Ditanya samada politik wang berlaku kerana hukuman yang dikenakan adalah ringan, Abdullah berkata : "Saya tak tahulah kerana orang yang berkenaan dah mula balik semula guna pendekatan yang dulu dia dihukum daripada segi disiplin."

Mengenai laporan yang dibuat oleh pemimpin veteran Umno Selangor Datuk Mazlan Harun kepada BPR minggu lalu mendakwa wujud salah guna kuasa dalam proses peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah berkata, dakwaan itu tidak berasas.

"Itu perkara penting yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi. Bukan saya dan Najib perlahan-lahan (secara diam-diam) pakat, tidak. Itu hasil daripada apa yang diputuskan, apa yang dimaklumkan kepada MT dan MT telah terima dan berpendapat ini perlu dimaklumkan kepada ahli-ahli parti agar mereka memahaminya," katanya.

Mengenai persediaan jentera Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos nanti, Abdullah berkata, semuanya berjalan dengan baik. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.