Saiful bersumpah 'mubahalah' di Masjid Wilayah


Saiful (kanan) yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpahnya. -foto THE STAR oleh Azman Ghani

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan, bapa saudara Saiful, 'Uncle Pet', beberapa pegawai masjid berkenaan, ahli keluarga Mohd Saiful, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) iaitu Datuk Che Mat Che Ali dan pegawai dari Jawi.

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara 'bermubahalah' dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

"Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut....A'uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi...Wabillahi....Wata'alahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam."

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful memeluk bapanya, Azlan dan menerima ciuman bapanya di dahi kemudian terus bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.


Saiful memeluk bapanya, Azlan dan menerima ciuman bapanya di dahi sejurus membacakan sumpah 'mubahalah'.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Saiful pada Jun lepas.

---------------------------------------------------------------------------------------------

KOMEN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

PERMATANG PAUH: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan akuan bersumpah bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sebagai politik murahan ketika "kempen".

Di sini, Anwar berkata ia merupakan permainan taktik kotor Umno dan Barisan Nasional.

Penamaan calon bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pagi esok.

Ketika bercakap kepada wartawan di kawasan Permatang Pasir, di sini malam ini, Anwar berkata beliau telah merujuk dakwaan kes meliwat itu kepada Mahkamah Syariah.

"Saya telah merujuk kepada Mahkamah Syariah berkenaan dakwaan ini sebulan yang lalu dan pihak mahkamah mahu menemui Saiful tetapi polis tidak membenarkan pegawai mahkamah berjumpa dengannya (Saiful).

"Permainan apa ini? Apa polis punya permainan. Kalau nak ikutkan prosedur Islam, pergilah ke Mahkamah Syariah. Ini gimik politik," kata beliau.

Anwar menambah, sehari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil Parlimen Pematang Pauh beliau telah didakwa di mahkamah dan menjelang hari penamaan calon esok upacara bersumpah Saiful pula diadakan.

"Ini politik kotor Umno yang terdesak," kata beliau.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majlis Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Tinjauan mendapati sebelum itu Saiful melakukan sumpah, pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar tadi setelah diberitahu upacara sumpah 'mubahalah' akan dilakukan oleh Saiful.

Sebelum itu, Saiful didapati telah hadir di masjid tersebut sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Dalam pukul 5.30 petang tadi, lebih kurang 30 wartawan cuba menyelinap masuk ke dalam Masjid Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang berlaku tetapi telah dihalau oleh pihak keselamatan pada mulanya.

Apabila ditanya kenapa wartawan dihalau, pihak keselamatan berkata itu, adalah arahan pihak atasan.

Bagaimanapun, pihak wartawan berjaya juga memasuki masjid itu.

Difahamkan, Saiful telah 'disorokkan' di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu bilik tersebut yang sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna ungu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama 'Uncle Pet' sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil 'wudhu.'

Sejurus selepas itu, Uncle Pet memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

"Dia kat dalam...," kata Uncle Pet tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cadangan 'bermubahalah' ini pertama kali diusulkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Julai lalu.

Gesaan ini dibuat untuk meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Anwar menghadapi tuduhan meliwat oleh Saiful Bukhari. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Menurut Asri, "Kedua-dua mereka (Saiful dan Anwar), baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah kerana inilah cara yang pernah Nabi buat dulu."

No comments

Powered by Blogger.