Taktik Anwar untuk kekalkan populariti: PM
PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih teraju kepemimpinan negara sebagai satu pembohongan.
Perdana Menteri berkata, tindakan Anwar yang sering mendakwa beliau hanya menunggu masa merampas kuasa, sebenarnya bertujuan mengekalkan popularitinya sebagai pemimpin pembangkang.
"Apa yang dilakukannya (Anwar) jelas menjurus ke arah itu dan beliau sentiasa cuba meraih populariti dengan berbuat demikian... seperti pasaran saham," katanya dalam wawancara dengan agensi berita The Associated Press (AP) di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Anwar yang berulang kali mendakwa sudah mendapat persetujuan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti menyertai PKR, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan Pusat dengan majoriti mudah sebelum 16 September.
Abdullah berkata, hakikatnya ketika ini majoriti pemimpin semua parti komponen BN tetap taat dan setia kepada kepemimpinan beliau serta kerajaan masih terus mendapat sokongan antara 80 hingga 90 peratus pemimpin terbabit.
"Saya tidak fikir kita perlu menggunakan undang-undang itu, sudah tentu tidak. Mengapa pula harus ada bantahan tidak terkawal kerana ia sudah tentu tidak akan dilakukan oleh parti pembangkang yang mendakwa mereka boleh membentuk kerajaan?.
"Sudah tentu jika mereka pembangkang yang bertanggungjawab, mereka tidak akan membuat sesuatu sehingga seolah-olah meletakkan kedaulatan undang-undang di tangan sendiri dan mengadakan demonstrasi sesuka hati," katanya. - AP
No comments
Post a Comment