Umno Permatang Pauh mahu ketua bahagian tanding pilihan raya kecil


BUKIT MERTAJAM: Umno Bahagian Permatang Pauh mencadangkan ketuanya Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Keputusan itu dibut pada satu mesyuarat khas jawatankuasa bahagian itu di sini pada malam Isnin lalu, kata Setiausaha Bahagian, Ahmad Sahar Shuib pada mesyuarat jentera pilihan raya Umno yang dihadiri ketua cawangan dalam bahagian itu di sini malam tadi yang turut dihadiri Abdul Jalil.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Abdul Jalil menjelaskan bahawa terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

“Kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan kami bersedia membantu mana-mana calon yang ditentukan kelak,” katanya.

Abdul Jalil berkata alasan di sebalik ketetapan itu ialah kerana tempoh berkempen adalah tidak lama dan BN perlu menggunakan setiap peluang dan masa yang ada untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan pembangkang.

“Dengan memilih anak tempatan yang sudah dikenali pengundi sebagai calon, mudah kita untuk mendekati mereka dan tidak perlu membuang masa untuk memperkenalkan calon berkenaan,” katanya.

Kerusi itu dikosongkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, bertanding semula.

Abdul Jalil juga berkata mesyuarat agung 48 cawangan dalam bahagian Permatang Pauh yang dijadualkan berlangsung selepas 10 Ogos ini akan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya kecil itu.

Katanya Pengurusan Umno Pulau Pinang semalam membuat keputusan itu bagi membolehkan tumpuan diberi kepada pengendalian pilihan raya kecil itu.

“Mana-mana cawangan yang telah mengeluarkan notis untuk mengadakan mesyuarat sehingga 10 Ogos ini, kita benar ia diteruskan tetapi yang bercadang bermesyuarat selepas tarikh itu, kita minta ia ditangguhkan sehingga pilihan raya selesai,” katanya.

Umno Permatang Pauh mempunyai 92 cawangan. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.