Pakatan Rakyat setuju PAS letak calon di Kuala Terengganu


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, mesyuarat yang diadakan antara parti itu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah berbincang dan menetapkan PAS akan terus bertanding untuk kawasan itu seperti pilihan raya umum sebelum ini.

"Untuk menentukan calon, kami menggunakan prosedur biasa iaitu menerima cadangan nama daripada kawasan yang kemudiannya dibawa ke peringkat negeri dan seterusnya ke pusat.

"Insya Allah, kami akan memutuskan calon yang akan bertanding untuk kerusi pilihan raya kecil tersebut pada mesyuarat jawatankuasa pusat pada 21 Disember," katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Nasaruddin yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, jawatankuasa PAS Terengganu akan mengadakan mesyuarat mereka esok dan dijangka mereka dijangka sudah pun mempunyai senarai nama calon yang dihantar oleh cawangan-cawangan bahagian Kuala Terengganu.

Ditanya mengenai keyakinan PAS untuk memenangi kerusi tersebut, Nasaruddin berkata: " Kita masuk untuk menang dan jika kita tengok sebelum ini pun (pilihan raya umum ke-12), majoriti yang dimenangi calon BN tidak begitu besar."

Ditanya sama ada PAS menjangka yang pilihan raya tersebut tidak diadakan dalam masa terdekat memandangkan mesyuarat jawatankuasa pusat hanya akan diadakan pada 21 Disember, Nasaruddin berkata, pihaknya menjangka pilihan raya itu akan diadakan pada bulan Januari memandangkan terdapat dua perayaan pada bulan ini iaitu Hari Raya Aidiladha dan Krismas serta musim tengkujuh yang sedang melanda Terengganu.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong setelah penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada Jumaat lalu kerana serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum lepas Mac lalu, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

1 comment

perunding said...

alhamdulillah cepat umum calon dari mana,yakni Pas telah dipersetujui,mematikan satu peluru provokasi BN yg cuba menyibuk dgn menyatakan patut calon ni,calon tu lah.
tahniah kpd PR.
moga Allah memberi bantuan kpd pejuang,memudahkan semua urusan,dan memberi kemenangan kpd calon Pas khasnya,rakyat umumnya.

Powered by Blogger.