Zambry dan Nizar, dua Menteri Besar berkedudukan Seri 28-28.


Episod politik negeri Tok Sagor ini semakin bercelaru dengan kehangatan penguasa-penguasa politiknya yang sedang berebut untuk menaiki takhta dengan menggunakan formula 'sifir seri' yang menyaksikan masing-masing berkedudukan seri 28-28.
Barisan Nasional dikatakan masih menguasai permainan kerana telah berjaya memaksa tiga pemain yang tidak berjersi masuk ke padang untuk menguatkan Barisan dalam menghadapi gelombang Pakatan Rakyat yang tertipu dengan kelicikan dan kelincahan tiga pemain yang dikatakan begitu terdorong untuk menyepak bola ke gawang sendiri. Mereka bertiga telah menanggalkan jersi lamanya kerana menyedari taktik permainannya tidak lagi mengikut rentak sebagaimana yang diharapkan.
Namun begitu tiga pemain ini tidak berminat untuk memakai jersi berlambang 'dacing kati' kerana mereka dikatakan begitu selesa bermain tanpa jersi, lagipun mereka juga menyedari posisi yang digalas terhadap mereka bagaikan melukut di tepi gantang.
Pelbagai strategi digunakan untuk memenangi permainan dalam merebut piala sumbangsih 'Menteri Besar Perak Darul Ridzwan'. Penonton di dalam stadium semakin ghairah dengan jeritan kumpulan sorak masing-masing untuk mempastikan pasukan masing-masing menang dalam episod kali ini.
Dr. Zambry Kadir yang dilantik sebagai pengemudi pasukan Barisan dilihat berada di atas trek untuk menuju ke puncak kejayaan, sedangkan Ir. Nizar daripada Pakatan Rakyat juga masih berkeyakinan untuk melakukan kejutan mempertahankan kejuaraannya.
Pasukan Ir. Nizar yang masih menggunakan 'Laman Menteri Besar' di Ipoh untuk berkubu dikatakan tidak mahu beralah walaupun diasak bertubi-tubi oleh pasukan Barisan yang diketuai oleh Dr. Zambry yang kini sudah berjaya bertapak di singgahsana kekuasaan. Beliau telah dinobatkan sebagai pasukan yang layak bertakhta walaupun berkedudukan seri 28-28.
Nampaknya pasukan Pakatan Rakyat terpaksa mengalihkan fokusnya untuk membuktikan betapa pasukannya masih bertakhta di hati rakyat. Penyokongnya di Bukit Gantang sedang melipatgandakan usaha dan tenaga untuk memberikan signal yang lebih jelas kepada penguasa yang bertakhta di Pejabat SUK Negeri Perak ini, supaya lebih bersedia untuk digulingkan secara demokrasi.
Dr. Zambry haruslah memperkuatkan barisannya yang dilihat masih rapuh, kerana ramai sangat pencatur yang berminat untuk melihat UMNO rebah di dalam gelanggang kali ini. Kita mendoakan siapa juga yang menang janganlah sampai menang sorak kampung yang tergadai.

No comments

Powered by Blogger.