Jangan Mudah Benci Sesama Islam

Sisters In Islam (SIS) sebagai sebuah badan NGO yang ditubuhkan sejak lebih 20 tahun lalu begitu aktif bergiat dalam membantu wanita Islam mengatasi permasalahan seperti menuntut hak mereka dalam kes perceraian, tututan tanggungan (maintenance), hak penjagaan anak (custody) dan sebagainya. SIS sentiasa memberi tunjuk ajar kepada wanita Islam supaya peka dan sedar hak mereka di bawah undang-undang negara. Mereka juga aktif memperjuangkan hak asasi manusia seperti yang dituntut oleh Islam dan nilai-nilai sejagat. Ramai peguam muda dalam latihan (chambering) turut mendapat manfaat dengan bekerja secara sukarela dengan SIS.

Oleh itu, alangkah pelik dan terkejutnya bila saya terbaca berita bahawa Muktamar PAS baru-baru ini meminta supaya siasatan dibuat ke atas SIS dan tindakan diambil terhadap mereka jika dianggap terpesong dari ajaran Islam. Selain itu, saya juga terkejut dengan kenyataan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Nordin dari Parti Keadilan Rakyat yang mendesak supaya SIS dilarang menggunakan perkataan Islam dalam nama pertubuhan itu. Bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo dari UMNO juga masuk gelanggang untuk menyokong musuh politiknya dari PKR untuk mempertikaikan niat dan tujuan SIS dengan mencadangkan supaya SIS tidak boleh menggunakan perkataan Islam sebagai nama pertubuhan itu. Begitulah budaya toleransi di Malaysia hari ini, hanya Khir Toyo dan Zulkifli Nordin layak membuat penentuan siapa boleh guna Islam, siapa tidak boleh.

Besar kemungkinan mereka yang membuat berbagai tuntutan di atas sedikit pun tidak mengetahui atau mengenali tentang kegiatan SIS. Mungkin mereka yang benci pada SIS langsung tidak pernah berhubung atau mengambil tahu apa yang SIS lakukan selama ini. Kalau mereka benar-benar mengetahuinya, mustahil mereka akan begitu marah.

Mengenai hak asasi manusia dalam Islam, SIS mempunyai pendirian yang kukuh dan berasas. Kita mungkin tidak setuju dalam segala aspek hak yang diperjuangkan oleh SIS tetapi ini tidak bererti mereka itu songsang atau menentang Islam. Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroud, Ketua Hakim Iran, telah pun menyatakan pendiriannya tentang perlunya hak asasi manusia dari perspektif Islam diterima oleh dunia. Malah beliau mencadangkan sebuah Mahkamah Antarabangsa khusus seperti European Court of Justice ditubuhkan.

SIS memberi pandangan mereka bagaimana aspek hak asasi ini perlu dipupuk di negara majoriti umat Islam seperti Malaysia. Kalau kita tidak setuju, kita memberi hujah dan alasan kita. Seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir Mohamad, janganlah sampai nak haramkan mereka semata-mata kerana kita tidak faham atau tak boleh terima pandangan mereka.. Jawab sahaja hujah mereka. Itulah cara minda orang Islam boleh berkembang. Akidah orang Islam tidaklah begitu rapuh seperti yang disangkakan oleh pihak yang suka mengharam dan menghentam pihak lain. Itu bukan cara kita mahu memerintah negara ini.

Lagi pun SIS banyak membuat kerja sukarela menolong wanita Islam dalam banyak perkara. Program pertolongan melalui telefon Telenisa yang memberikan khidmat nasihat percuma kepada wanita dalam kesusahan sungguh berkesan. Melalui khidmat ini, wanita diberitahu hak mereka sewaktu menghadapi perceraian, hak untuk penjagaan anak dan hak tanggungan. Program SIS memerhati prosiding mahkamah (court watch) pula banyak membantu mempercepatkan prosiding mahkamah; kelemahan pentadbiran Mahkamah Syariah diteliti dan diberitahu kepada pihak atasan. Di sini kelemahan yang ketara dibawa kepada pengetahuan pihak berkuasa supaya kes-kes Mahkamah Syariah dapat dipercepatkan dan perjalanannya lebih licin. Malah dalam aspek pendidikan kepada wanita Islam, saya pasti tak banyak organisasi yang lebih banyak berjasa kepada wanita Islam selain dari SIS.

SIS juga sebuah badan yang dihormati di peringkat antarabangsa. Kalau tidak masakan Mufti Besar Mesir Sheikh Ali Gomaa mahu berjumpa dan berbincang dengan SIS. Banyak penulisan ilmiah disiarkan di majalah antarabangsa hasil kerja mereka yang bersama-sama dengan SIS dan ini mencerminkan kejayaan badan NGO dari Malaysia itu.

Dalam masyarakat Islam hari ini ramai pemimpin yang suka menggelar diri mereka pembela dan pejuang Islam tetapi hasil kerja mereka kurang sekali; langsung tak siapa yang mengetahui sumbangan mereka. Mereka hanya tahu bercakap mahu membela Islam. Ini berbeza dengan sikap dan amalan ramai sukarelawan Islam yang bertungkus-lumus menolong nasib sesama orang Islam membantu menyelesaikan permasalahan mereka, khususnya dari kaum wanita. Namun kumpulan inilah yang selalu dihina dan dicerca. Inilah nasib ummah hari ini.

Orang Islam dan parti politik Islam (Melayu) berbangga bila mereka dikatakan mempunyai sikap terbuka terhadap orang bukan Islam, iaitu menunjukkan sikap toleran dan memberi kebebasan kepada kumpulan bukan Islam melakukan sesuatu aktiviti. Tetapi alangkah cepat mereka menuduh sesama Islam dengan berbagai-bagai tohmah, dan cepat menghukum mereka ini jika kumpulan ini sedikit berbeza dengan mereka.

Saya difahamkan ramai ahli Kelab Penyokong PAS yang semuanya dari kalangan bukan Islam berpegang kepada prinsip demokrasi dan kebebasan, termasuk kebebasan beragama dan kebebasan bersuara. Jadi mengapa double standard dalam sikap PAS terhadap SIS dan mereka yang menjadi ahli Kelab Penyokong PAS?

http://myzaidibrahim.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.