Khutbah Jumaat, bukan medan politik PAS - MB

KUALA LUMPUR, 2 Jun - PAS tidak pernah menggunakan khutbah Jumaat sebagai medan berpolitik, sebaliknya menyatakan apa yang benar mengikut kaedah Islam.


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perjuangan PAS yang mengikut acuan Islam, menyebabkan isu yang dibangkitkan dalam khutbah Jumaat tidak boleh dipisahkan.


Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno negeri, Anuar Safian yang membidas kerajaan negeri berhubung dakwaan yang kononnya menggunakan khutbah jumaat untuk berkempen.


Malah Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, isu itu tidak seharusnya dibangkitkan. "Ayat-ayat Al-Quran itu ada ayat yang berbentuk politik. Yang Umno tak mahu itu, sebab dia menolak Islam," katanya.


"Sebaliknya pihak tertentu pula mendakwa PAS telah menyalahgunakan khutbah Jumaat bagi agenda politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Bazar Tok Guru di sini, semalam.


Safian dalam kenyataannya semalam mendakwa PAS menggunakan khutbah untuk berkempen menjelang pilihanaraya raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai depan.


"Saya tidak faham kenapa ia (khutbah) perlu dikaji semula. Khutbah Jumaat dibuat untuk menyedarkan rakyat hidup di dunia dan akhirat.


"Kalau hendak selamat di akhirat jangan ada rasuah, rogol, mencuri dan jangan ada riba. Nak kaji macam mana benda begitu. Kalau buang tak jadi khutbah Jumaat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.