Mewajibkan Bahasa Inggeris bebankan pelajar luar bandar - Exco Kelantan

KOTA BAHARU 10 Jun — Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berpendapat langkah mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membebankan pelajar luar Bandar.

“Langkah itu menunjukkan kerajaan tidak prihatin terhadap suara rakyat dalam menangani isu itu kerana belumpun selesai isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, rakyat sekali lagi dibebankan dengan isu baru mewajibkan lulus bahasa Inggeris,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Tilawah al-Quran peringkat negeri, di Balai Islam, di sini malam tadi.

Mohd Amar berkata sepatutnya kerajaan terlebih dahulu menyelesaikan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum mengumumkan dasar baru mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris.

“Kalau kerajaan boleh memaksa pelajar mengambil dan lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM mengapa tidak berbuat demikian terhadap mata pelajaran agama Islam?

“Mata pelajaran agama hanya wajib diambil oleh pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tetapi tidak wajib lulus, sedangkan Bahasa Inggeris wajib lulus, ini menunjukkan ada elemen pilih kasih,” katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.