Pakatan Rakyat Harapan Pengundi Muda

Apakah yang diperlukan oleh generasi muda kita? Pertanyaan ini terlalu umum kerana apa yang diperlukan generasi muda itu begitu banyak dan pelbagai. Keperluan generasi muda di bandar mungkin berbeza dengan keperluan generasi muda di kampung. Generasi muda dari keluarga miskin tentu tidak sama dengan generasi muda dari keluarga kaya. Jadi, tidak ada sesiapa yang dapat menjelaskan dengan tepat apa yang diperlukan oleh generasi muda.

Tetapi lain pula dengan apa yang diperlukan oleh pengundi generasi muda? Pengundi generasi muda telah menyatakan keperluan mereka dengan jelas dalam pilihan raya 2008. Mereka mahu kerajaan baru. Hal ini dapat dilihat melalui saluran 3 dan 4 iaitu saluran pengundi muda berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Kenapa pengundi muda mahu kerajaan baru? Mereka benci kepada kerajaan Barisan Nasional yang korupsi, kronisme dan nepotisme. Kerajaan BN juga banyak bermain silap mata, bermain wayang, dan bermain bermacam-macam hal yang tidak diketahui oleh rakyat. Projek rakyat oleh kerajaan BN hanya dibincangkan dan diputuskan di kalangan pemimpin BN. Rakyat hanya diberitahu dan dipaksa menerimanya tanpa bantahan. Begitulah tanggapan pengundi muda terhadap kerajaan BN (Perikatan) yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada British.

Orang muda suka berterus terang. Jadi, mereka juga mahu kerajaan berterus terang dan telus. Projek silap mata dan bermain acilut tidak dapat diterima oleh orang muda. Dahulu orang muda hanya bergantung pada media kerajaan yang ternyata berat sebelah.

Media kerajaan hanya melaporkan betis kerajaan yang kelihatan putih lagi licin. Punggung kerajaan yang berkurap, berpanau atau berkudis tidak dilaporkan. Apabila internat berkuasa, blog merajalela, punggung kerajaan terselak. Rakyat tersentak melihat kurap, panau dan kudis pada punggung kerajaan. Alahai, kerajaan BN, cantik hanya pada betis!

Kenapa kerajaan BN membiarkan punggungnya berkurap, berpanau dan berkudis? Perkara ini mesti ditanya kepada pemimpin BN sendiri. Orang lain tidak berupaya memberikan jawapannya.

Namun, yang jelas sekarang orang-orang muda memilih Pakatan Rakyat dan menggantung harap pada pakatan tiga parti itu. Harapan mereka menggunung agar Pakatan Rakyat dapat membawa pembaharuan yang sebenar. Bukan pembaharuan sekadar di bibir.

Persoalannya, mampukah Pakatan Rakyat menunaikan harapan generasi muda negara? Hanya tiga orang yang boleh memberikan jawapan, iaitu Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang. Masa depan negara bergantung kepada tiga tokoh ini. Seandainya kerjasama mereka kekal, maka tertunailah harapan orang muda selepas Pilihan Raya Umum akan datang. Tetapi, sekiranya mereka ditakdirkan berpisah sebelum Parlimen dibubarkan, maka mandullah harapan orang muda.

Oleh itu, pelbagai usaha, termasuk menggunakan isu agama dan kaum, dilakukan pihak tertentu untuk “memisahkan” tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat. PAS memperjuangkan Islam, tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP yang kafir yang jelas menolak negara Islam.

Persoalannya, kenapa PAS sahaja menjadi sasaran kutukan? UMNO pun bekerjasama dengan MCA dan MIC yang juga kafir. Kenapa Islam PAS tidak boleh bekerjasama dengan kafir, sedangkan Islam UMNO boleh? Kalau kafir DAP menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan Hukum Hudud, kafir MCA dan MIC juga tidak akan terima. Jadi, apakah bezanya DAP, MCA dan MIC dalam konteks kerjasama dengan parti Islam atau parti Melayu?

PAS menjadi sasaran kerana BN tahu bahawa kelemahan Pakatan Rakyat terletak pada sendi yang menghubungkan PAS dengan DAP. Sendi Islam – kafir itu kelihatan lemah dan mudah dipisahkan, tetapi rupa-rupanya begitu kukuh dan kejap.

Sekiranya pemisahan ini berjaya dilakukan, orang muda boleh melupakan kerajaan baru. Mereka terpaksa menunggu lagi. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Dalam PAS sudah ada proUMNO dan dalam PKR jiwa UMNO belum habis dikikis. Oleh itu, Muktamar PAS Pusat Kali Ke-55 yang berlangsung di Shah Alam dilihat begitu penting.

Mampukah Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang menggalas harapan dan menunaikan cita-cita pengundi muda?

Sekiranya mereka tidak berjaya, ke mana arah tuju pengundi muda selepas ini?

No comments

Powered by Blogger.