PAS: Sebenarnya Kumpulan Anti Muqabalah Menang


1. Saya berpendapat keputusan Muktamar ke-55 PAS yang berlangsung selama tiga hari di Shah Alam memberi satu petunjuk dan isyarat yang jelas kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kekal sebagai presiden tanpa bertanding. Apakah isyarat tersebut?

2. Benar, Nasharuddin Mat Isa yang dilihat sebagai pro muqabalah telah berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS - menewaskan dua pencabarnya, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu. Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam pula 281 dan Mohamad Sabu mendapat 261 undi.

3. Sekiranya kita membuat tolak campur dari segi politik. Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi Husam dan Mohamad Sabu berjumlah 542 - yakni 62 undi melebihi undi yang diperolehi Nasharuddin sebanyak 46.8%. Harus diingatkan, Husam dan Mohamad Sabu kedua-duanya menolak sebarang kerjasama (baik ia atas nama kerajaan perpaduan) dengan UMNO. Dalam erti kata lain perwakilan menolak 'pro-muqabalah'.

4. Oleh itu agaklah mengejutkan Nasharuddin tanpa segan silu membuat isyarat untuk terus 'bermuqabalah' seraya menegaskan; "Muktamar PAS adalah kuasa tertinggi untuk membuat keputusan berkenaan."

Beliau mungkin kurang mahir dengan 'ilmu politik' bahawa keputusan muktamar telah pun dengan begitu jelas menolak agenda tersebut menerusi penolakan terhadap beliau sendiri (kelebihan 62 undi menolak kepimpinannya).

5. Saya berpandangan pendirian ahli PAS ini mesti dihormati. Meskipun saya bukanlah peminat Parti Keadilan Rakyat, ahli PAS telah membuat pilihan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan menolak sebarang kecenderungan terhadap UMNO.

6. Pun di hati kecil saya, sekiranya PAS di dalam Pakatan Rakyat wujud sebagai tunggul adalah lebih baik PAS berdiri sendiri tanpa perlu memeningkan kepala dengan kerenah parti-parti lain khususnya parti orang itu yang bermasalah. Secara peribadi inilah yang dimaksudkan dengan 'No Muqabalah No Erdogan Yes Hezbullah'.

7. Ini sememangnya akan menyukarkan PAS 'memerintah' negara ini kerana€ PAS perlu bergelut tanpa sekutu. Tetapi PAS; akan dan dapat mengutuhkan diri berfungsi sebagai gerakan Islam dan dakwah. Kita pun faham bahawa tugas dakwahlah yang akan ditanyakan Allah kelak. Berjaya atau gagal bukanlah hak kita. Politik hanyalah satu 'jalan' untuk menyampaikan mesej Islam. Tetapi, kita juga semua tahu; ia bukanlah satu-satunya jalan.

8. Justeru, adalah wajar Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presidennya memahami isyarat yang terang benderang ini. Idea kerajaan perpaduan Presiden PAS itu sememangnya tampak murni tetapi ia telah ditolak ahli PAS.

9. Keputusan muktamar (perwakilan dan ahli) hendaklah dihormati dan jangan dikhianati.

10. Tambahan pula pemimpin UMNO tidak kelihatan teruja dengan idea kerajaan perpaduan tersebut. Janganlah orang tak hendak pipi kita tersorong-sorong.

No comments

Powered by Blogger.