Ulama sokong Pas, Umno tubuh kerajaan perpaduan?


Kumpulan profesional pertahan pendirian tak mahu kerjasama

SHAH ALAM: Cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), mendapat sokongan padu daripada golongan ulama dalam parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasaruddin Hassan, yang juga ulama muda dalam parti itu, secara terbuka menyokong cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN.

"Pemuda berpendirian yang Pas boleh berbincang dengan siapa saja demi kepentingan Islam," katanya ketika membahas ucapan penangguhan pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Taman Malawati, di sini, semalam.

Nasaruddin berkata, Pemuda di bawah kepemimpinannya akan menjaga nama baik parti dan sama sekali tidak akan 'menconteng arang' terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib turut menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan mahu Pas membalas dengan baik walaupun berurusan dengan orang yang sudah membuat jahat seperti yang dituntut al-Quran.

Bagaimanapun, cadangan Abdul Hadi itu mendapat kritikan kumpulan profesional dalam Pas yang menyokong Pakatan Rakyat.

Wakil Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dikatakan mewakili kumpulan 'Edrogan' mengecam cadangan itu kerana mendakwa kerjasama itu boleh membawa kepada perpecahan Pas.

"Kononnya Umno hendak berdamai kembali dengan kita (Pas), kita perlu berwaspada dengan taktik licik mereka," katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam sebaliknya berkata, Pas harus memberi keutamaan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Parti Keadilan Rayat (PKR).

Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof mendesak kepemimpinan menolak sebarang hasrat untuk mewujudkan kerjasama dengan Umno dan BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, berkata cadangan untuk berbuat demikian perlu dikaji dengan teliti supaya pucuk kepemimpinan tidak menghantar isyarat salah kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Vincent Lee berkata, rundingan sulit antara Pas dan Umno membimbangkan penyokong masyarakat bukan Islam.

"Saya amat berharap, janganlah kita melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti sehingga parti kita kembali kepada zaman gelap gelita, yang mana pengundi termasuk Melayu, Cina, India dan Siam meninggalkan Pas.

"Apa ertinya mereka menyokong satu parti yang sudah terpesong daripada perjuangan yang berlandaskan Islam sebenarnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap barisan pimpinan dan juga akar umbi parti serta ahli kelab sentiasa dapat memastikan parti bergerak di landasan yang betul.

biar betul...cepat tol umno buat keputusan? mampus umno!!!!

No comments

Powered by Blogger.