Umno kesal media gagal terangkan istilah ulama dalam PAS
Oleh Samsuri Roslan
KUALA LUMPUR, Jun 24 — Para pemimpin Umno kesal dengan kegagalan media milik Barisan Nasional (BN) sendiri yang gagal terangkan istilah ulama dalam PAS dengan jelas.
Sehubungan itu, mereka meminta media supaya memberi kefahaman yang jelas kepada umum perbezaan ulama dalam PAS dengan ulama di zaman Rasullulah SAW.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta media terutamanya media yang dikuasai oleh Barisan Nasional supaya dapat membezakan antara kepemimpinan Ulama di dalam PAS dengan ulama di zaman para Nabi dahulu.
“Peranan dan ketokohan Rasullulah SAW dahulu adalah perjuangan yang cukup luas sehingga melewati sempadan Agama, politik, ekonomi dan sosial serta kehidupan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai ide kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan telah ditolak oleh gabungan Pakatan Rakyat baru-baru ini.
Dia berkata, sedangkan apa yang diperjuangkan oleh PAS hanya dilihat dari sudut kepentingan politik semata-mata dan terhad kepada sokongan lain-lain parti yang bekerjasama dengannya.
“Tiada sebarang agenda yang jelas mengenai ekonomi dan sosial termasuk perpaduan yang menjadi teras kepada kekuatan agama dan sesuatu bangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Umno bahagian Padang Besar ini mengkritik cara media termasuk media yang dikuasai oleh Barisan Nasional yang menyentuh isu ulama dan bukan ulama dalam PAS semasa muktamar PAS ke-55 lalu.
“Media yang dikuasai BN sendiri keliru dengan mengulangi perkataan ulama yang menguasai PAS sedangkan ia hanyalah sebuah parti yang dikuasai oleh individu yang berlatarbelakangkan agama,” katanya.
"Media perlu faham antara ulama sebagai pewaris Nabi yang menguasai seluruh kehidupan termasuk agama, politik, ekonomi dan sebagainya,” katanya lagi.
Dia juga meminta golongan ulama termasuk para cendikiawan Islam dan mufti supaya memberi penjelasan secara terperinci peranan dan perbezaan antara ulama di zaman Rasullah SAW dengan ulama yang berpegang kepada politik semata-mata.
Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Setiawangsa, Samat Saim juga turut bersependapat bahawa media yang dikuasai oleh BN perlu analisis sesuatu isu tanpa terikut-ikut dengan media pembangkang.
“Walaupun media mempunyai kebenaran fakta dan maklumat namun mereka perlu mempunyai cara berfikir sendiri yang tidak mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.
Dia berkata, media sememangnya mempunyai pengaruh yang cukup luas dan berkesan di kalangan pembaca mahupun penonton dan mereka akan mudah percaya dengan bahan yang disogokkan itu.
“Saya yakin pemimpin media samada yang menyokong kerajaan mahupun pembangkang mempunyai kepakaran dan tanggungjawabnya sendiri. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati dengan setiap isu yang ditimbulkan agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan awam,” katanya lagi.
Bagaimanapun Ahli Umno Bahagian Lembah Pantai, Kamaruzaman Yatiman pula memberitahu, seharusnya Umno sendiri yang perlu membukti sejauhmana mereka berperanan sebagai pejuang agama dan bangsanya.
“Media tentu mempunyai persepsi sendiri mengenai isu terbabit tetapi ahli Umno sendiri kena menjadi jaguh kepada umum dengan memberikan ciri-ciri kepimpinan yang baik sehingga boleh menjadi contoh kepada masyarakat umum,” katanya.
No comments
Post a Comment