Hak royalti usah disihir jadi wang ihsan

Oleh Lanjusoh

TENTUNYA rakyat Kelantan masih ingat peristiwa kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun) ke Kelantan disambut Menteri Besar. Adegan jarang berlaku itu dirakam pada 1997.Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menunggu ketibaan Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Sebahagian yang hadir di kalangan pemimpin Umno Kelantan.


Detik bersejarah pada 4 April 1997 di mana kerajaan Kelantan melalui Keloil Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KUB (M) Bhd bagi membangunkan projek petrokimia di Bachok.

Kilang KUB Tekstil Sdn Bhd di Pengkalan Chepa menjadi saksi peristiwa berkenaan berlangsung.

Sebelum itu kerajaan negeri telah membangunkan dua kilang di Pantai Senok iaitu Keloil LPG Cylinder Sdn Bhd dan Keloil-PTT LPG Sdn Bhd. Kawasan seluas 2,000 ekar disediakan kerajaan negeri di kawasan terbabit yang berpotensi dimajukan dengan industri petroleum.

Ini memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan negeri setelah menyedari di dasar lautnya kaya dengan gas dan minyak. Selepas itu MoU berlalu begitu sahaja.

KUB tidak nampak batang hidungnya. Lebih malang lagi, biar pun kawasan khas disediakan di Pantai Senok seumpama Kertih di Terengganu, namun gas tetap juga dialih ke Songkla di Thailand.

Dr Mahathir tidak memilih negeri Serambi Mekah biar pun jarak telaga minyak dan gas jauh lebih dekat dengan pantai Kelantan.

Sedangkan Songkla terletak sejauh 260 km dari pelantar, manakala Pattani (180 km). Pantai Kelantan pula hanya 150 km. Namun Dr Mahathir memilih Songkla biar pun terpaksa mengorbankan banyak duit rakyat bagi menyalur paip gas ke sana.

Alasan itu dibuat kerana tidak lain tidak bukan, Kelantan diterajui kerajaan PAS.

Inilah yang tidak mampu dinafikan Dr Mahathir sehingga ke hari ini.

Sebenarnya beliau tidak keseorangan bertindak, sebaliknya dia disokong pemimpin-pemimpin Umno Kelantan termasuk Dato’ Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa.

Lebih memalukan lagi apabila Mustapa dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Dr Awang Adek Hussain cuba menafikan berkali-kali hak Kelantan ke atas royalti petroleum.

Pelbagai dalih cuba direka. Alasan paling senang mereka gambarkan minyak dan gas yang dikeluarkan di perairan Kelantan merupakan kawasan bertidih.

Dan hari ini kerajaan pusat yang diketuai Dato’ Seri Najib Razak turut mengulangi tragedi serupa. Mereka seperti seronok menghukum Kelantan.

Duit royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan cuba ditukar menjadi wang ihsan.

Apakah hujah Najib mampu meredakan kemarahan rakyat negeri tersebut. Pastinya tidak. Cuba tengok kenyataan media yang dikeluarkan Petronas bertarikh 25 Jun 2009.

“Another RM6.2 bilion was paid in royalty payments to the state governments of Terengganu (RM3.0 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) and Sabah (RM0.9 bilion).”

Ini secara jelas digambarkan istilah royalti digunakan dan bukan wang ihsan.



Isu kedua yang berbangkit iaitu wang tersebut diuruskan kerajaan negeri dan bukan lagi di bawah tanggungjawab persekutuan.

Anggota Exco kerajaan Kelantan, Dato’ Husa Musa berkata, tidak berbangkit alasan perdana menteri - pengairan negeri dianggap kawasan yang terletak tidak lebih dari tiga batu nautika yang diukur dari pesisir pantai.

“Pengeluaran petroleum di Sabah, Sarawak dan Terengganu juga berada di luar tiga batu nautikal. Mengapa Sabah, Sarawak dan Terenganu dibayar royalti, bukan wang ihsan.

“Nyata asas yang disebut Perdana Menteri mengenai tiga batu nautikal tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu. Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan,” katanya di Kota Bharu Rabu lalu.

Pada persidangan parlimen pada hari yang sama Najib menjelaskan kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada Kelantan mulai tahun depan.

Jawapan itu sebagai menjawab soalan anggota parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, anggota parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaafar dan anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Ekoran itu Husam juga memberitahu Majlis Mesyuarat Kerajaan bersetuju melantik panel guaman untuk mengambil langkah selanjutnya sehingga tuntutan royalti minyak dipenuhi.

Antara isu yang dicadang:-

a) Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada Petronas untuk mencari gali dan mengeluarkan sumber petroleum di darat dan lautan Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti tetap tidak dipatuhi.

b) Kemungkinan kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA dan CAA yang melibatkan entiti dan syarikat antarabangsa.

Persoalan yang timbul di sini mengapa tiba-tiba royalti menjadi wang ihsan dan diurus pula kerajaan pusat.

Tidakkah ini dinamakan tindakan politik bagi mendera negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Anggota parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, keputusan dibuat Perdana Menteri secara jelas membelakangkan semangat federalisme.

“Ia juga cuba melanggar kedaulatan undang-undang dan langsung tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani pada 1975 di antara kerajaan negeri dan Petronas,” katanya.

Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, keputusan Perdana Menteri untuk membayar wang ihsan langsung tidak mencerminkan semangat 1Malaysia yang diuar-uarkan sekarang.

“Rakyat Kelantan amat kecewa dengan pengumuman kerana kerajaan persekutuan telah membelakangi kerajaan Kelantan yang dipilih secara sah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, politik tunggang langgang akan terus diamalkan kerajaan BN selagi mereka diberi kesempatan memiliki kuasa.

Kata beliau selagi rakyat tidak mempunyai kesedaran politik yang menyeluruh perkara seumpama itu akan tetap berulang pada masa akan datang.

“Langkah terbaik bagi mengatasi perkara itu pastikan kerajaan BN yang semakin lesu sekarang tidak lagi memiliki kuasa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Kesungguhan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak dapat dilihat apabila mereka sanggup meredah ombak dengan melakukan ekspedisi ke kawasan pelantar minyak pada 4 Ogos lalu.

Juruukur yang dibawa bersama pada ekspedisi itu mendapati pelantar tersebut benar-benar berada di perairan Kelantan.

Telaga gas yang ditemui berada di Blok 301 dan 302 yang dikenali sebagai Bunga Dahlia, Bunga Kamelia, Bunga Zetung, Bunga Anggerik, Bunga Kesumba dan Bumi South. Gas di telaga tersebut diteroka sejak 2006.

Manakala perangkaan perindustrian petroleum di Malaysia pada 2004 menyebut Kelantan, Sabah dan Terengganu mengeluarkan petroleum yang bernilai RM47 bilion.

Dan Malaysia-Thailand Joint Development Area merupakan kawasan yang aktif carigali dan pengeluaran gas asli.

Kawasan telah dibahagikan kepada 3 blok iaitu Blok A-18, Blok B-17 dan Blok C-19.

Operasi gas asli di blok A 18 dikendalikan Syarikat Carigali HESS. Pengeluarannya sekarang 6,000 tong sehari. Gas itu didaratkan ke Songkla.

Berdasar kepada perangkaan terbabit Petronas sepatutnya membayar kepada Kelantan royalti bernilai RM512,000 sehari atau RM186 juta setahun.



Maka tidak hairanlah Kelantan menuntut kira-kira RM1 bilion royalti selepas carigali bermula sejak 2004 lagi. Inilah realitinya dan bukan wang ihsan yang cuba disihir kerajaan pusat.

No comments

Powered by Blogger.