Justifikasi Seorang Teman

012995422


Saya tidak pasti apa yang mahu dicatat.

Menulis tanpa ketenangan fikiran, bukanlah sesuatu yang baik.

Terlalu mudah untuk dikesan pada apa yang diluahkan. Ternampak fikiran yang tidak tenteram, hati yang kusam dan pandangan yang kelam.

Tetapi diam bukanlah ubat kebah pada jiwa yang tidak tenteram. Nyatanya bagi orang yang berehat dengan menulis, selagi tulisan belum dilangsaikan, tiada rehat dan tiada tenteram untuk selimut malam.

DI BUMI SYAM

Di Bumi Syam, saya bukanlah insan yang paling rapat dengan Ustaz Asri. Sesuai dengan jarak universiti pengajian saya yang ratusan batu di seberang lembah kering membelah sahara, pertemuan kami yang terbaiknya hanya sekali seminggu. Teman-teman lain yang ‘bertuah’ dikurniakan peluang mengaji di Amman, lebih berkongsi talam hidangan dan tikar bualan bersama Ustaz Asri.

Namun entah di mana titiknya, antara saya dan beliau ada sesuatu yang lebih daripada kenalan.

Teringat saya ketika pulang bercuti ke Malaysia pada suatu ketika, saya berkunjung ke Taman Melewar sebagai pemerhati Muktamar. Seorang super senior menyampuk saya, “hah, Hasrizal, anta orang Asri kan? Dengar khabar dia sekarang ini sudah masuk UMNO. Apa cerita?”



Muka saya merah padam.

Tetapi sentuhan Bumi Syam sudah banyak meredakan baran saya yang banyak mengundang susah. Saya menggigit lidah dan membalas ringkas, “kalau mahu tahu tentang Ustaz Asri, tanyalah yang empunya diri. Ana tidak tahu menahu!”

Soalan, “Asri apa khabar?” sangat sinonim dalam pertemuan saya dengan teman lama. Ia mungkin sedikit sebanyak menggambarkan siapa Ustaz Asri dan siapa saya. Terlalu rumit untuk dicoret, hanya yang berpada untuk menukil ibrah.

PERTEMUAN PERTAMA

Cuti musim sejuk selepas tamat semester satu di awal pengajian saya, kami pelajar baru berpeluang ke Makkah menunaikan ibadah Umrah. Perjalanan sehari semalam dengan bas merentas padang pasir, banyak kenangan yang masih segar dalam lipatan.

Saya teringat di suatu petang, semasa duduk di celah-celah orang lain di pinggir rumah tumpangan kami di sisi al-Masjid al-Haram, perbualan kami terhenti apabila seorang pelajar yang memperkenalkan dirinya sebagai penuntut Malaysia di Makkah menyergah Ustaz Asri.

“Anta Wahabi!” kata pelajar itu.

“Wahabi itu apa?” tanya Ustaz Asri semula kepadanya.

“Tu, yang Ibnu Taimiyah pegang tu, Wahabi le” kata pelajar tersebut dengan penuh yakin.

“Ibnu Taimiyah mati lama sebelum Muhammad bin Abdul Wahhab lahir. Macam mana boleh Ibnu Taimiyah jadi Wahabi?” Ustaz Asri menambah soalan.

Pelajar itu tidak menjawab dan terus meninggalkan kami.

Saya sendiri terkejut dan terpinga-pinga.

Di dalam perjalanan pulang ke Jordan, kami sepi merenung ke luar. Cuaca yang semakin sejuk tatkala semakin bergerak ke Utara menyebabkan sesetengah kami selsema.

“Nak berhenti di mana ni? Rasanya tak ada masjid depan-depan tu,” kata ketua rombongan.

Subuh sudah lebih setengah jam masuk, dan kami tidak bertemu dengan masjid untuk singgah mengadap Allah. Akhirnya semua bersetuju agar bas berhenti sahaja di tepi jalan dan kami bersolat di tanah lapang.

Subhanallah…

Cuaca yang amat sejuk menggigit kami hingga ke tulang. Tidak mampu menjamah air, kebanyakan kami bertayammum dengan tanah mengelakkan diri daripada mudarat. Solat Fajar segera didirikan kerana mentari juga sudah hampir menyimbah siang. Pengalaman bersolat di padang pasir yang sejuk, kering dan penuh batu sungguh nostalgia.

Namun saya tidak lupa kepada teguran Ustaz Asri kepada sahabat saya yang mengimamkan Solat Fajar itu.

“Anta, orang solat separuh nyawa menahan sejuk, anta nak buat Qunut juga ya!” kata Ustaz Asri.

Sahabat saya tersengih.

Sudah belajar, dan sudah faham perbahasan sekalian mazhab tentang persoalan Qunut di Solat Fajar itu. Tetapi mengubah kebiasaan, berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain.

ILMIAH DAN ILMIAH

Itulah muqaddimah imej Ustaz Asri kepada saya, pelajar tahun satu di tahun 1993 itu. Pergaulan kami dengan beliau banyak terisi dengan wacana yang kata kuncinya cuma satu, ILMIAH.

Ilmiah dalam menadah kitab, ilmiah semasa hadir ke kuliah, ilmiah semasa berbahaskan khilaf, ilmiah juga dalam soal dakwah dan berjamaah. Uniknya ialah, Ustaz Asri tidaklah bersendirian berpegangan demikian. Malah ia adalah pegangan sesiapa sahaja di Jordan yang serius dengan pengajian. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ketika kami di tahun satu pengajian, kami sentiasa mengagumi para senior yang kemas ilmu pengetahuannya.

Rata-rata, kebanyakan senior ini adalah daripada kalangan mahasiswa yang membuat pengkhususan di dalam Sastera Arab, tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (lebih sinonim disebut KP). Pelajar persendirian dan tajaan Yayasan Negeri juga ramai yang bagus. Tetapi rata-rata pemegang biasiswa KP lebih menonjol sebagai pelajar yang berwibawa. Sebabnya mudah, Kementerian Pendidikan Malaysia hanya menaja pelajar cemerlang SPM dan STPM untuk menyambung pelajaran di Jordan. Maka hampir kesemua mereka yang saya kenali, adalah pelajar yang mendalam pengetahuan tentang ilmu Syariah, biar pun mereka membuat pengkhususan utama di dalam Kesusasteraan Arab.

Tambahan pula, ketika itu University of Jordan masih menawarkan program yang membolehkan pelajar membuat majoring di dalam satu bidang, kemudian minor di dalam satu bidang yang dipilih. Ramai yang saya kenal ketika itu, mereka mengambil Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Arab dengan minoring in Shariah.

Saya tidak pasti di tahun manakah program tersebut dimansuhkan, tetapi ia berlaku di awal pengajian kami, generasi pelajar tahun satu tahun 1993.

Tetapi Ustaz Asri adalah Ustaz Asri. Sesuatu yang tidak pernah berubah bermula daripada hari pertama saya mengenalinya. Dua sifatnya yang paling menonjol ialah beliau sentiasa berpendapat berlapikkan hujah, dan sifat peribadinya, pantang dicabar.

Adakalanya kami jadi letih dengan asakan-asakan yang ditujukan kepadanya kerana sebahagiannya lebih bersifat ’sengaja mencari penyakit’.

AJAR MENGKAJI SYIAH

Antara jasa terbesar Ustaz Asri kepada saya, ialah pada mengajar saya cara mengkaji tentang Syiah.

Semasa di sekolah menengah, saya memiliki gambar Khomeini di dalam dompet. Tidak pernah mengambil tahu tentang Syiah sebagai Mazhab Aqidah dan Fekah, saya mengagumi Khomeini pada siasah dan revolusinya. Regu berbual tentang Syiah pula adalah Ustaz Maszlee Malik yang merupakan salah seorang pelajar Rancangan Bersama JPA – Petronas ketika itu. Kami ditempatkan di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) untuk kursus intensif Bahasa Arab sebelum berlepas ke Jordan, Morocco dan Mesir.

Selepas Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menganjurkan Seminar Taqrib Antara Mazhab Sunni dan Syiah di Kuala Lumpur pada tahun 1993, KUSZA menganjurkan sebuah seminar berkaitan topik yang sama, tetapi lebih merupakan reaksi kepada seminar anjuran PUM itu. Panelis berdua, terdiri daripada Sheikh Ahmad al-Khatib, Pensyarah di Akademi Islam Nilam Puri yang berasal dari Iraq, bersama Maulana Asri Yusuf , pendakwah bebas yang terkenal pada masa itu.

Seminar itu telah memukul minda saya pada tahap yang luar biasa. Bersama segala hujah yang dikemukakan, saya tidak mampu lagi untuk mempertahankan Khomeini, baik dari segi pendirian politik, apatah lagi aqidah dan fekah. Keributan minda dikongsi bersama Maszlee Malik dan kami berbual hingga dinihari bermalam-malam selepas seminar itu. Namun pendirian masih belum konklusif. Masih membaca dan mengkaji.

Hanya setelah tiba di Jordan, kecelaruan minda saya tentang Syiah dibantu penyelesaiannya oleh Ustaz Asri. Beliau tidak mendoktrinkan saya dan teman-teman. Apa yang dilakukannya hanyalah pada memperkenalkan kitab-kitab induk Syiah seperti Usul Min al-Kafi, membaca sendiri tulisan Syiah tentang kepercayaan mereka, dan seterusnya menganalisa secara mantiq dan logik tentang idea-idea yang dikemukakan.

Setelah Ustaz Asri menamatkan pengajian, saya masih konsisten mengutip kitab-kitab Syiah yang terselit di celah lautan buku di Bumi Syam, untuk meluaskan lagi kefahaman tentang pendirian yang sejahtera mengenai hal ini.

Itu adalah sebahagian daripada kesan yang ditinggalkan oleh Ustaz Asri kepada saya.

Cuma, dengan tempoh masa lebih dua tahun saya mendampingi beliau, saya tidak menjadi beliau. Yakni, saya tidaklah sentiasa menyetujui pandangannya pada setiap masa, kerana itulah intipati nasihat beliau sendiri kepada saya. Jangan bertaqlid. Benarkan yang benar, hindarkan yang batil.

Hubungan yang akrab di antara Ustaz Asri bersama Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, serta sejumlah ilmuan terkemuka di Jordan juga banyak memercikkan peluang kami untuk mendapatkan sentuhan didikan Ulama terbilang ini. Kepulangannya banyak menghilangkan peluang yang satu ini.

SELEPAS BELIAU PULANG

Di era pertengahan 90′an, Jordan dan Malaysia itu amat jauh kedudukannya. Tanpa telefon bimbit dan internet, perpisahan kami dengan Ustaz Asri, sempat disejukkan dengan kesinambungan halaqah kami bersama ‘klon’ Ustaz Asri yang sempat ditinggalkan iaitu Ustaz Abdul Rasyid Idris, senior setahun saya di SMAP Labu juga di Jordan. Beliau kini memimpin Dewan Pengajian Ibn Qayyim di Pulau Pinang.

“Lepas Ustaz Asri balik Malaysia ni baru tenang sikit kepala kita, kan?” Ustaz Rasyid berseloroh.

Kami ketawa.

Benar.

Banyak kontroversi yang terpadam selepas kepulangan Ustaz Asri ke Malaysia. Tetapi ketiadaan kontroversi itu turut sedikit sebanyak menghambarkan wacana mingguan kami.

Selepas Ustaz Rasyid juga menamatkan pengajian, hubungan kami hanya diperbaharui apabila saya berpeluang balik bercuti ke Malaysia.

Ketika itu Ustaz Rasyid mengajar di Parit Buntar, manakala Ustaz Asri masih mengajar di SMK Raja Tun Uda di Pulau Pinang. Lucu juga mengenangkan Ustaz Asri letih melayan kerenah anak muridnya yang pelbagai ragam. Saya menghabiskan masa beberapa hari bermalam di rumah beliau di Mengkuang. Ketika itu Dewan Pengajian Ibn Qayyim hanyalah berupa sebuah dewan sederhana besar di sisi rumah Ustaz Asri.

Ketika itu juga saya sempat menemankan Ustaz Asri berceramah di Penjara Pulau Pinang. Beliau bercerita kepada banduan tentang luasnya rahmat Allah dan menggalakkan banduan berqiamullail sebagai proses taubat. Tatkala sampai kepada sesi soal jawab, seorang banduan melontarkan soalan cepumas kepadanya.

“Tadi ustaz kata pada sepertiga akhir malam, Allah turun dan membukakan tangan-Nya bertanya siapa daripada kalangan hamba-Nya yang mahukan keampunan. Saya nak tanya, tangan Allah tu apa?” tanya banduan berkenaan.

Saya tersentak dengan soalan itu. Mengetahui akan manhaj Ustaz Asri, saya menanti bagaimanakah jawapan balas Ustaz Asri kepada si penyoal, yang merupakan seorang banduan, dengan segala kekurangan yang ada pada akses mereka kepada ilmu pengetahuan.

“Tangan Allah itu maksudnya rahmat Allah!” kata Ustaz Asri.

Saya tersenyum mendengar jawapan itu. Ustaz Asri yang dilabel tegas dengan manhaj pegangannya, tidaklah pula sampai tidak menoleh ke kiri dan kanan untuk membaca suasana. Takwil berlaku apabila ada keperluan yang boleh dijustifikasikan oleh Syara’.

Itu pemerhatian saya.

“Ustaz, ni saya nak tanya satu perkara, betul ke mengubah-ubah hukum Allah itu berdosa?” tanya seorang lagi banduan.

Kami terkejut.

“Dia nak tanya tentang hudud ke?” bisik Ustaz Asri kepada saya.

“Agaknya!” saya membalas.

“Betui la tu!” jawab Ustaz Asri kepada banduan berkenaan dengan loghat Pulau Pinangnya.

“Kalau macam tu, ni saya nak tanya, apa pasai ada satu benda ni dulu Ulama kata makruh, la ni Ulama kata Haram pula? Tidakkah ini mengubah-ubah hukum Allah!” tanya banduan tersebut dengan penuh semangat.

Semua orang ketawa pecah perut.

Rupa-rupanya banduan itu mahu bertanya tentang rokok. Isu panas di penjara ketika itu.

“Dulu, Ulama bandingkan rokok ni dengan bawang, dengan petai, dengan jering. Bau busuk. Itu yang dihukumkan makruh. La ni Ulama kaji dalam lagi. Rupa-rupanya rokok ni bukan takat busuk, malah membunuh. Pakcik kalau anak umoq 9 tahun hisap rokok pakcik buat apa?” jawab Ustaz Asri sambil melontarkan soalan kepada banduan tersebut.

“Uih, saya lempang dia!” katanya.

“Hah, tau pun merokok tak elok!” simpul Ustaz Asri.

Seluruh hadirin ketawa. Penjara gamat dengan sesi soal jawab yang sungguh unik.

Kenangan itu masih jelas di kepala saya. Peristiwa di penjara itu memperlihatkan satu contoh kepada budak mentah seperti saya bahawa dakwah harus sesuai dengan mad’u. Ustaz Asri banyak membantu daripada sudut itu.

Mungkin kenangan paling bermakna, ialah semasa saya menemankan Ustaz Asri pergi ke rumah al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu. Ustaz Asri mahu menjemput al-Marhum Ustaz ke majlis perkahwinan beliau dan saya sedia maklum akan hubungan yang amat akrab di antara al-Marhum dengan Ustaz Asri.

Tatkala saya dikejutkan dengan berita kematian al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, antara yang paling awal terlintas di fikiran saya ialah, “siapa lagi yang boleh nasihatkan Ustaz Asri kalau Ustaz Fadzil sudah tiada!”

PENDIRIAN SIASAH

Benar.

Selepas masa berlalu, banyak yang terjadi.

Selepas pulang ke Malaysia tamat mastautin di bumi Ireland, saya ada dikunjungi oleh Ustaz Asri yang datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Seminar Usul Fiqh yang diadakan di Bangi. Beliau hadir bersama Ustaz Arief Salleh iaitu teman serumah saya semasa kami mengaji di Jordan dahulu.

Ustaz Arief sudah menjadi Pensyarah di UTM Skudai..

Manakala Ustaz Asri baru selesai menamatkan pengajian peringkat PhD beliau di UIAM dan berkhidmat sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang.

Kami berbual tentang perkembangan semasa. Turut terselit adalah isu tentang kepimpinan PAS yang dilihat lemah pasca kekalahan teruk di dalam Pilihanraya Umum ke-11 tidak lama sebelumnya. Saya menegaskan bahawa PAS itu ada hampir sejuta ahli dan jika kita nampak kelemahan mereka, kita mesti menjadi sebahagian penyelesaiannya.

“Takpa la. Ana doakan anta!” kata Ustaz Asri dengan nada berseloroh.

“Takkan doa aje. Buatlah apa yang patut!” saya menambah.

Kami tidak bersembang berat kerana ia lebih kepada pertemuan untuk menjalin kembali silaturahmi yang terputus selepas lama mastautin saya di Eropah.

KEUNIKAN JORDAN

Uniknya Jordan.

Jordan dan sistem pengajiannya tidak pernah mendoktrinkan pelajarnya untuk menjadi Wahabi, Salafi, Sufi, Syafie, Orientalis atau apa sahaja.

Jordan mengamalkan sistem pengajian terbuka. Segala mazhab disentuh dan didedahkan. Pelajar digalakkan mengkaji dan pensyarah jarang sekali cuba mendominasi pelajar agar terikat dengan aliran masing-masing. Justeru ada pensyarah kami yang Khalaf, ada yang Salafi, ada yang Sufi, ada juga klon orientalis dari Sorbonne Perancis.

Tetapi satu titik temunya ialah, ILMIAH.

Titik musuhnya pula ialah, TAASUB.

Pelajarlah yang kemudiannya memilih untuk membentuk dirinya menjadi apa, pasca menamatkan pengajian di Jordan. Oleh sebab itu, ada graduan Jordan yang Salafi, ada yang keras Syafie dan taasub Sufi, ada yang mati hangus pun PAS juga, tak kurang pula yang bersalin bantal berjodohkan UMNO. Malah ada juga yang bermastautin di wacana Islam Progresif. Senang cerita, macam-macam ada.

Suntikan pengajian di Jordan menjadikan graduannya bebas berkembang. Pendedahan yang diberikan tentang aliran-aliran yang sudah sekian lama wujud di dalam tradisi keilmuan Islam, turut menyumbang kepada pendirian mu’tadil (bersederhana) pada asatizah keluarannya. Hanya segelintir yang tertonjol kekerasannya dalam apa sahaja aliran yang diwakili. Ia pilihan peribadi, bukan acuan universiti atau indoktrinasi.

BERBEZA PENDIRIAN

Ustaz Asri yang sudah bergelar doktor, terus maju di bidangnya sama ada di medan dakwah mahu pun kesarjanaan akademik. Saya teruja melihat sambutan yang diberikan oleh masyarakat kepada pendekatan dakwah beliau, terutamanya daripada kalangan anak muda dan siswazah universiti.

Dakwah Ustaz Asri juga meluas di kalangan profesional kerana apa yang dikemukakannya sangat bertepatan dengan orientasi kelompok profesional yang datang daripada latar belakang pengajian Sains yang berorientasikan bukti. Jika dalam pekerjaan mereka, kelompok ini sangat evidence based oriented, sudah tentu mereka mahukan benda yang sama dalam soal beragama.

Seruan tajdid minda Ustaz Asri ialah pada mengisi kedahagaan kelompok ini kepada beragama secara berdalil, bukan sekadar ikut-ikutan.

Namun ada sekelumit kekhuatiran di minda saya. Di suatu ketika, Ustaz Asri turut menerima sambutan hebat daripada kelompok yang lazim dikaitkan dengan Islam Liberal. Saya pernah melontarkan saranan bahawa gerakan Tajdid dan Islam Liberal memang ada satu titik pertemuan iaitu pada menolak dan menentang tradisionalisma. Akan tetapi Tajdid dan Islam Liberal selepas bertemu di titik itu mahu berangkat ke destinasi yang berbeza. Saya pernah menyuarakan kerisauan tentang hal ini. Jangan terlarut dengan sokongan kelompok urban yang satu ini.

Ketaksuban anak muda yang mendefiniskan diri mereka sebagai orang Ustaz Asri juga menerbitkan kekhuatiran yang sama.

Saya percaya, pemurnian manhaj adalah sesuatu yang sepatutnya berada di semua tempat. Ia tidak harus membentuk satu kelompok baru kerana pembentukan kelompok baru dengan label ‘geng Sunnah’, ‘puak Tajdid’ dan lain-lain, sama ada yang dinamakan sendiri oleh pendukung manhaj tajdid ini, mahu pun yang digelar oleh orang lain, kesemua perkembangan ini menyebabkan musuh-musuh baru tercipta.

Saya tidak mahu terbabit dalam pengelompokan ini.

Rasa tidak selesa itu semakin bertambah apabila Ustaz Asri semakin lunak pandangannya terhadap parti memerintah, berbeza dengan bahasa saranannya kepada PAS. Perbezaan pandangan menjadi nyata ketika berlakunya kekecohan akibat demonstrasi BERSIH pada November 2007. Ketika itu saya mengirimkan email kepada beliau, sebagai seorang sahabat kecil yang mengasihinya, seorang saudara seperjuangan.

Teguran saya berkisar pada saranan agar beliau melembutkan bahasanya ketika menegur PAS. Sesungguhnya PAS bukan lagi satu, dua atau tiga muka yang tidak disenangi beliau. Sebaliknya PAS ialah satu gerakan yang dianggotai oleh hampir sejuta ahli. Sindiran beliau menimbulkan provokasi, menjadi trend anak-anak buahnya di kampus dan ini menyulitkan apa sahaja nasihatnya untuk diterima.

Malah saya juga menyebut, “jika ustaz dilantik menjadi Mufti selepas Pilihanraya tahun depan, ana ucapkan tahniah siap-siap. Tetapi jika ustaz dilantik menjadi Mufti sebelum Pilihanraya, ana tunggu dan lihat dahulu, kerana tidak pasti siapa yang mempergunakan siapa”

Email itu ditulis dengan berat hati.

Namun ia ditutup dengan pesanan, “ketahuilah ustaz, mungkin orang yang paling tajam mengkritik ustaz adalah orang yang paling mengasihi ustaz, berbanding orang yang memuja dan memuji di sekeliling kita. Ana hanya seorang sahabat, dan kekal sahabat sebelum dan selepas kritikan ini.”

Entahlah email itu sampai dan dibaca atau tidak.

Tetapi semenjak BERSIH 2007, saya memang dilihat sebagai seorang yang tidak bersetuju dengan Ustaz Asri, malah keletihan kerana terpaksa bertempur dengan ‘pengikut’ yang tidak senang dengan kritikan saya.

INSIDEN PENANGKAPAN

Berita penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini tidak mengejutkan saya. Sebelum Ustaz Asri, Dr. Abdullah Yasin pernah ditahan. Ramai juga tokoh lain turut berdepan tindakan yang sama.

Tetapi penahanan Ustaz Asri amat mengganggu fikiran.

Apatah lagi pada memikirkan di JAIS, JAKIM malah YADIM sendiri, ada ramai wajah teman sepengajian semasa di Jordan dahulu. Ada yang sempat bersama dengan Ustaz Asri, ada yang sekadar mendengar dari jauh. Tetapi lubuk ilmunya satu. Bumi Syam, Bumi Isra’ yang penuh barakah itu.

Justeru mengenangkan wajah-wajah teman, berat untuk saya fikirkan ada sahabat yang mahu menikam sahabatnya sendiri.

Makan makanan yang sama, basah dengan hujan dari langit yang sama, tidur berselimutkan sejuk malam yang sama, kering oleh simbahan bahang mentari yang sama, mengaji di bawah bumbung ilmu yang sama, selepas bertuhankan Tuhan yang sama dan bernabikan Rasul yang sama. Sukar sekali untuk dibayangkan ada yang mahukan mudarat dan kehancuran pada sahabatnya sendiri. Jauh benar akhlaq Rasulullah, Alul Bait, Imam Syafie, Imam Nawawi, Imam Abu Hasan al-Asy’ari, Imam Ibnu Taimiyah dan Imam al-Ghazzali daripada kehendak yang sebegitu, melainkan nafsu dan dendam kesumat sahajalah terbitnya perasaan sedemikian rupa, jika ada.

Saya tidak mampu untuk membuat andaian atau spekulasi kerana apa yang tersirat mungkin terlalu besar berbanding dengan apa yang tersurat.

Tip of the iceberg, kata orang putih.

Tetapi menggunakan kekerasan untuk menguruskan perbezaan pandangan, ia terlalu sukar untuk ditelan. Ia meliarkan masyarakat dan memberanakkan kekeliruan.

Di sepanjang sejarah umat, pemikiran yang tidak dipersetujui, ditundukkan dengan debat dan hujah. Muktazilah, Jabariah dan Qadariah ditundukkan dengan debat dan dukungan hujah. Ada pun menggunakan law enforcement, ia hanya berlaku selepas jalan hujah bertemu mati.

Semoga kekalutan yang timbul, dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Wa imma isunya ialah pertembungan Wahabi dan tradisionalis, atau politik kepartian dan apa sahaja, semua ibrahnya pulang sebagai manfaat yang membangunkan umat.

42_13“…Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya…” [al-Syura 42: 13]

SAJAK KENANGAN

Pada tahun 1994, Ustaz Asri ada menulis sebuah sajak. Ia diabadikan di buku cenderamata majlis sambutan pelajar baru. Saya meminta izin agar sajak itu dikembangkan dan kemudian dijadikan lirik sebuah nasyid.

Hasil uzlah saya di sebuah bilik, sajak itu ditajukkan sebagai TETAMU DATARAN SYAM, nasyid dendangan saya yang kekal disebut-sebut oleh setiap mereka yang singgah bertamu di Bumi Syam hingga ke hari ini.

Semasa nasyid tersebut mahu dimasukkan ke dalam album Gemilang kumpulan Usrah al-Firdaus pada tahun 1995, saya berkali-kali menegaskan bahawa penulis lirik nasyid itu adalah Mohd Asri Zainul Abidin dan Hasrizal Abdul Jamil. Namun disebabkan oleh pelbagai kontroversi yang sangat sinonim dengan susuk tubuh manusia bernama Asri, permintaan saya ditolak dan nasyid itu direkodkan penyanyi dan pencipta lagunya sebagai Hasrizal Abdul Jamil, demikian juga penulis liriknya.

Saya tidak mempunyai banyak mutiara untuk dihadiahkan sebagai tanda prihatin dan ingatan saya kepada Ustaz Asri. Hanya nasyid itulah yang saya nukilkan kembali di sini, sebagai tazkirah buat diri saya, Ustaz Asri, dan pegawai-pegawai JAIS, JAKIM atau YADIM yang menadah barakah di Bumi Syam:

TETAMU DATARAN SYAM

Tetamu di Dataran Syam ini
Harus gagah seperti Abu Ubaidah
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi Syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti
Hadirnya barisan waris perjuangan

Medan ini medan yang susah dan payah
Sesusah Medan Mu’tah di puncak sana
Dan penghuninya juga harus gagah
Segagah Kota Karak perakam sejarah

Di sinilah kau akan membina jiwamu
Jiwa pembela maruah agama
Berbekalkan ilmu berpandukan iman
Islam pasti akan kau merdekakan

Ketibaanmu adik-adikku
Kusambut dengan seribu pengharapan
Agar kau menjadi insan berilmu
Dan pembela nasib agamamu

Hatimu perlu cekal dan tabah
Sesabar tiga Sahabat Rasulullah
Jiwamu perlu subur dengan iman
Sesubuh Dataran Syam bertuah

Kita diajar cintakan kematian
Bagai musuh kita cinta kehidupan
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya
Kau mengenal jihad dan perjuangan

Tetamu Dataran Syam engkaulah harapan
Untuk ummah melihat masa depan
Sebagai Ulama’ sebagai pejuang
Islam pasti akan kau merdekakan

Selamat Datang Tetamu Dataran Syam

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995

Justifikasi seorang teman.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


No comments

Powered by Blogger.