Saya sedia disiasat SPRM - menantu TGNA

KOTA BHARU 6 Nov. - Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman (gambar) bersedia pada bila-bila masa disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diminta berbuat demikian.

Beliau yang juga menantu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ini bagi memastikan SPRM memperoleh maklumat yang secukupnya dalam siasatan mereka.

Mohd. Ariff Fahmi ketika dihubungi di sini hari ini turut mengesahkan sekumpulan pegawai SPRM termasuk dari Ibu Pejabat di Putrajaya datang ke pejabat PMBK pagi semalam, namun ketika itu beliau tiada di pejabat.

''Ketika kunjungan mereka, saya masih dalam cuti sakit. Saya menjalani pembedahan tekak pada Ahad lalu. Apa yang mereka (SPRM) hendak saya tidak tahu, kerana mereka tidak memberitahu saya.

''Saya hanya diberitahu, pegawai SPRM itu mengambil beberapa dokumen seperti fail bayaran, baucer dan bil bayaran yang dibuat selepas bertemu dengan pengurus kewangan saya,'' katanya.
Semalam, enam pegawai SPRM dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai.

Ini kali kedua perbadanan itu disiasat oleh SPRM. Kali pertama pada Ogos tahun lalu selepas SPRM menerima surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai peranan begitu besar.

Bagaimanapun, SPRM menutup kertas siasatan tersebut beberapa bulan kemudian apabila mendapati tiada sebarang unsur rasuah dalam dakwaan itu.

Utusan Malaysia difahamkan, siasatan yang dibuat SPRM kali ini menjurus kepada perkara yang sama iaitu kronisme dan penyelewengan.

Siasatan juga dikatakan tertumpu kepada tuntutan tidak munasabah yang dibuat oleh pegawai perbadanan tersebut.

Ditanya adakah siasatan kali ini berkait dengan dakwaan lama atau dibuat oleh orang dalam PMBK, Mohd. Ariff Fahmi berkata:

''Ini kali kedua pejabat PMBK dikunjungi pegawai SPRM. Rasanya ia tiada kaitan dengan kes lama kerana ia sudah selesai. Mungkin ada laporan dibuat tapi saya tak nak menuduh kerana saya tidak tahu.''

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut.

''Saya tidak akan menafikan dan pada masa yang sama, saya juga tidak akan mengesahkan. Apa-apa pun tunggu dulu. Semuanya terlalu awal,'' katanya ringkas.

No comments

Powered by Blogger.