Memahami pengertian politik baru.

Muqaddimah

Satu ungkapan yang acap disebut di dalam kempen PRK P059 Bukit Gantang ialah Politik Baru. Frasa ini sebenarnya bukan juga satu yang baru. Tidak pula ia terbatas kepada wacana politik di negara ini sahaja. Dengan kata lain ia memberi makna dan wacana tertentu kepada kelompok tertentu yang menggunakannya pada tempat serta era tertentu.

Makalah ini cuba menekuni perkembangan istilah ini dalam konteks backdrop politik dan perubahan landskap nasional di negara ini. Meskipun diakui pernah digunakan lebih awal, wacana Politik Baru ini hanya mendapat satu pengertian yang lebih serius, pasca PRU ke-10, selepas Gelombang Pertama Kebangkitan Rakyat. Impaknya bukan kepalang sehingga kerajaan Umno/BN kehilangan 42 kerusi di Parlimen dan 2 buah negeri.

Kali kedua gugatan ini berulang ialah pada PRU ke-12 pada 8 Mac, 2008 yang lalu. Kali ini ia juga diberi jolokan Tsunama Politik yang melanda kerajaan Umno/BN, lengkap persis ’zon terbenamnya’ (epicentre) dan "plak-plak tektonik"nya. Ramai penganalisis telah merakamkan penulisan mereka termasuk penulis ini. Kerajaan Umno/BN kehilangan 5 buah negeri, 82 kerusi parlimen sekaligus ternafi 2/3 majoriti di Dewan Rakyat, paling bermakna dan signifikan dalam sejarah politik negara-bangsa ini.

Pasca PRU ke-12 kembali membuka laluan kepada perubahan struktural politik dua parti atau 2 pakatan-barisan mirip amalan demokrasi matang seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Australia. Dalam laluan setahun pasca PRU ke-12, Politik Baru ini terus berkembang dan mengambil satu evolusinya tersendiri dengan eksperimentasi dan pengalamanya tersendiri.

Bezanya dengan penulisan lain, ia diolahkan dari perspektif kerangka pemikiran (worldview) seorang Islamis demokrat yang memahami laras bahasa politik kontemporari. Pendekatan penulisan ini awalnya menekankan faktor pencetus atau ’causative factors’ sebelum membuat analisis ringkas ciri-ciri Politik Baru. Akhirnya penulisan ini cuba membuat beberapa telahan politik ke depan atau ’political trajectory’ Politik Baru ini.

Beberapa pentakrifan dan pengistilahan

Mengikut mantiq atau logiknya, kalau ada yang baru tentu ada yang lama. Kalau ada Politik Baru pasti ada Politik Lama. Namun yang ‘Baru’ ini tidak pula bermaksud satu ciptaan terkini yang tidak pernah wujud sebelum ini. Bahkan Politik Baru ini, di beberapa segi secara substantif (isi) adalah pemunggaran dan penggilapan semula era silam. Maka penilaian ’Baru’ atau ’Lama’ dalam konteks bicara politik atau ‘political narration’ yang digunakan penulis, bukanlah diukur dengan neraca “Masa” atau ‘Timeline’ ia tampil dalam gelangang atau domain politik.

Sesungguhnya yang menjadi ukuran penentu Politik Baru atau Lama, mengikut pandangan penulis secara kritis ialah Sistem Nilai dan lebih bersifat Value-Centric. (Berteras Nilai). Sistem Nilai ini pula boleh sahaja yang berpaksikan Nilai Sejagat atau Nilai Wahyu-Islam atau Nilai Agama-Transcendental yang lain.

Dalam banyak hal, nilai-nilai yang didukungi kedua-dua kelompok ini tidak pula bersifat ‘eksklusif’bahkan sebaliknya saling menyokong atau ‘komplementari’. Nilai Amanah atau Integriti, Keadilan, Ketelusan, Pertanggungjawaban, Hak Asasi Manusia (Huquq Insaniyah) adalah contoh tunggak-tunggak pentingnya. Ciri-ciri Politik Baru pula amat berlawanan dan bertentangan atau anti-tesis kepada Politik Lama yang mewakili Orde atau Regim Lama. Penganjur-pendukung Politik Baru juga lebih bersedia menjadi ’inklusif’ dan lebih terbuka untuk senantiasa ’engaged’ bagi menjayakan cita-cita besar mereka.

Contoh ketara ialah pertautan atau ‘convergence’ nilai Amanah atau Integriti yang didukungi kedua-dua sistem Nilai Sejagat dan Nilai Wahyu. Pendukung nilai Amanah dan Integriti bagi mewakili Politik Baru, samada golongan Islamis atau Sekular, akan bersedia menggembleng tenaga untuk menyaingi bagi mengalahkan segala kebobrokan tajaan Politik Lama yang menganjur dan membudayakan sifat berlawanannya, yakni Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa dan Khianah.

Politik Baru dan Politik Koalisi

Dengan itu Politik Baru ini juga membawa satu lagi dimensi kematangan bukan sahaja di segi pertautan atau “convergence” di tahap nilai-nilai yang didukungi bersama oleh pemain-pemain utamanya. Ini amat menarik, sekaligus memungkinkan Permuafakatan Politik dijalinkan oleh pemain-pemain utama Politik Baru, samada golongan Islamis atau Sekular, dalam satu Pakatan atau Politik Koalisi (Coalition Politics).

Yang penting dalam Permuafakatan Politik atau Tahaaluf-Siyasi ini ialah persetujuan menganjurkan dan memperjuangkan matlamat dan idealisme yang dikongsi sama dalam Advokasi Agenda Politik Pakatan (Coalition’s Political Advocacy).

Tegasnya mengikut pandangan penulis, Politik Baru ini telah menjadi satu gagasan dan gerakan yang mewakili cita-cita dan pengharapan Manusia Bertamaddun dan Masyarakat Madani, termasuk Masyarakat Islam. Sekaligus Politik Baru menyuntik satu makna segar dan positif kepada persoalan ‚’nationhood’ atau negara-bangsa.

Politik Baru meruntuh tembok-tembok yang dibina oleh penguasa Politik Lama bagi memecah-perintah rakyat dalam erti amalan politik perkauman dan feudal-elit warisan penjajah. (Penghuraian ini akan dibuat dalam penulisan yang menyusul).

Pencetus Utama Politik Baru?

Dorongan utama kea rah perubahan kepada Politik Baru adalah suasana bobrok hasil rentetan pergolakan atau kebrentakan realiti sosial terbitan buruk Politik Lama. Namun tanggungan derita rakyat terhadap segala kezaliman, penyalahgunaan kuasa, pembaziran, kerakusan, penindasan serta peminggiran golongan lemah dan teramai diteruskan dengan pemegang kuasa Orde Lama terus menindas rakyat serta menakut-nakutkan rakyat.

Politik Lama juga memperbodohkan serta menafikan rakyat dari maklumat dan pengetahuan supaya mereka meyakini bahawa pemerintahan Orde Lama adalah penting dan kritikal kepada penerusan survival kehidupan rakyat.

Contoh terburuk Orde Lama yang mengongkong dan membelenggu rakyatnya ialah Fir’aun dalam urus-tadbir zalimnya terhadap kaumnya bagi mempastikan rakyatnya terus taat dan mengikut sahaja perintahnya.

Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zukhruf:25

Fas ta khaffa kaumahu, fa ’Atho’u...Dan Firaun menakut-nakutkan rakyatnya, maka mereka mengikutnya...

Tegasnya, Fir’aun menggunakan Politk Mengugut (Politics Of Fear) dalam mempastikan rakyatnya terus tunduk dan mentaati pemerintahannya. Bahkan rakyatnya diyakinkan bahawa Fir’aunlah kuasa segala-galanya yang memberi rezeki dan kehidupan kepada mereka. Nabi Musa memerdekan kaum Fir’aun dengan pengetahuan bahawa Fir’aun bukan Tuhan/Raja yang berkuasa secara mutlak dan tidak terbatas.

Begitulah juga pada sifat dan tabiat perubahan ke arah Politik Baru dalam mana-mana era atau zaman. Namun dalam era kini, yang memerdekakan rakyat dari Politik Peras-Ugut Orde Lama ialah Media Baru. Dengan kuasa dan wahana media baru yang dimenafaatkan pendukung-pendukung Politik Baru berbanding media lama, rakyat dicelikkan dengan informasi dan dimerdeka dengan pengetahuan.

Rakyat kini amat sedar dan faham tentang segala kekejaman dan kezaliman penguasa serta pemerintah yang memperkayakan serta melindungi segelintir kroni dan meminggirkan rakyat teramai. Media ini menerang, mendidik dan mengkeupayakan rakyat (empowering citizens) supaya bertindak membebas diri dari belenggu penindasan dan kezaliman pemerintahan. Orde Lama tetap cuba menggunakan akta dan perundangan rimba bagi menyekat maklumat dan pengetahuan kepada rakyat.

Sistem demokrasi pula mengizinkan rakyat membuat pilihan. Bahkan demokrasi itu pada takrifnya ialah sistem yang mengizinkan rakyat membuat pilihan berdasarkan informasi dan pengetahuan. Rakyat kini menggunakan kuasa pilihan sekaligus bertindak untuk membuat perubahan ke arah Politik Baru dan menolak Politik Lama yang menindas dan menafikan hak mereka.

Sekarang penguasa Politik Lama tahu bahawa rakyat tidak akan menyokong mereka lagi. Politik Baru membebaskan serta mendaulat kuasa rakyat sementara Politik Lama membelenggu serta memperbodoh rakyat untuk kesekian lamanya. Tidak ada cara untuk penguasa dan pendukung Politik Lama kembali berkuasa kecuali untuk memahami tuntutan Politik Baru serta menyatakan komitmen terbuka lantas menghayati idealisme Politik Baru. Ini yang terjadi di Bukit Gantang, ketika penguasa lama menggunakan laras bahasa dan meneriak slogan-slogan Politik Baru.

Aneh, janggal dan sedikit membosankan. Penguasa Politik Lama mungkin mahu menyerupai pendukung Politik Baru, namun peniruan dan kegiatan ciplak dan plagiarisme mereka ini akan terdedah. Kalau benar sungguh mereka mahu berubah, itulah sebaiknya. Tetapi kalau sekadar untuk sekali lagi mengeliru dan menipu rakyat, itu malang dan khianat namanya.

Contohnya: Untuk Apa ’Mohon Restu Rakyat’? yang dibuat calon BN. Bagi Politik Baru ianya adalah untuk menjalankan Amanah dengan segala Pertanggungjawaban dan Ketelusan kepada rakyat. Juga untuk memberi Menafaat dan Kebajikan kepada Rakyat seluruhnya tanpa mengira kaum, agama, budaya serta anutan politik mereka.

Mampukah Umno/BN selaku tunggak pendukung Politik Lama menjawab dengan jelas dan tuntas, bukan sekadar dengan dakwaan lisan atau pengakuan lidah mereka, tetapi dengan dibuktikan dengan amal, ahklaq, perilaku dan rekod prestasi mereka?

Menyongsong Politik Baru – ’New Politics’ Political Trajectory’

Negara kini sedang menuju hari-hari kegemilangannya yang sebenar, apabila pendukung cita-cita mulia dan ajaib ini di beri ruang berkuasa untuk melaksana dan merealisasi pengharapan rakyat seluruhnya. Mereka berpotensi membina satu pemerintahan baru dan tamaddun manusia yang juga unik dengan realiti pluralis akhir zaman.

Pendukung Politik Baru wajar tahu bahawa dirinya hanya layak diberi mandat selama komitmen mereka terarah untuk memenuhi Amanah Agung ini, yakni bagi mengisi matlamat manusia dijadikan diatas muka bumi ini.

Firman Allah SWT dalam Surah Hudd: 61.

Dia yakni Allah yang menjadikan kamu di atas buka bumi, supaya kamu Memakmurkan (Mengisti’mar) buka bumi ini.

Sebaik sahaja golongan ini tersasar dan tergelincir dari landasan tuntutan Al-Isti’mar (Memakmurkan) dan Al-Istikhlaf (Urus-Tadbir Baik- Good-Governance -Surah An-Nur:55), sudah tidak ada lagi kelayakan untuk mereka dimandatkan rakyat. Ketika itu mereka turut menjadi punca kebobrokan (Al-Khusran) dan kemusnahan (Al-Fasad) Politik Lama. Mereka akan turut mengalami proses degenerasi atau kereputan lantas menjadi Politik Lama, Usang dan Jijik, yang mereka sendiri perangi dahulu.

Pada hakikatnya, golongan ini yang dulunya bercita-cita besar, telah menjadi musuh dan penentang Politik Baru.

Dr Dzulkifly Ahmad
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

No comments

Powered by Blogger.