Alhamdulillah, PAS Sokong Penggunaan Kalimat Allah

Gerakan Islam terbesar tanahair, Parti Islam Se-Malaysia hari ini menyatakan sokongan kepada penggunaan Allah oleh masyarakat Kristian Katolik.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dibacakan Ketua Penerangan Idris Ahmad lewat jam 11.45 malam tadi, Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata sokongan ini konsisten dengan prinsip Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan ini dicapai Lajnah Politik Pas selepas bermesyuarat hampir tiga jam di Pejabat Agung Pas Kuala Lumpur.

Biro pimpinan terkanan Pas menegaskan bahawa penggunaan nama Allah oleh penganut-penganut agama samawi - Islam, Krsitian dan Yahudi - boleh diterima.

Pendirian ini konsisten dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh Islam tanahair sebelum ini.

Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dinobatkan antara 500 pemimpin Islam paling berpengaruh di dunia turut menyokong penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian.

Dalam nada tegas, Pas memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak menyalahguna nama Allah demi politik atau untuk mengelirukan masyarakat.

"PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat,"

Kes 'Allah' ini menguja kembali sejarah konflik antara masyarakat majmuk di negara ini, yang pernah terjerumus dalam rusuhan berdarah pada 13 Mei 1969.

Sebuah kumpulan pro-Melayu, Pribumi Perkasa, merancang untuk menganjurkan tunjuk perasaan pada Jumaat depan di masjid-masjid utama negara sebagai tanda bantahan.
Kerajaan Pusat turut berikrar untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan nama Allah oleh warta katolik, The Herald, minggu lalu.

Pas, selaku gerakan Islam terbesar negara, melalui presidennya Abdul Hadi Awang memberi amaran bahawa ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghasut atau mengambil tindakan provokasi yang boleh membawa kepada ketegangan agama. -TVS


KENYATAAN MEDIA

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"




Kufur Jika Sokong Guna Kalimah Allah - Haron Din
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

BANGI: Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan...

No comments

Powered by Blogger.