GPSS Dakwa Pengunjung Malaysia Today Hina Raja-Raja Melayu

SHAH ALAM, 04 Jan - Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS) hari ini membuat laporan polis terhadap portal Malaysia Today kerana menyiarkan komen-komen yang menghina Raja-Raja Melayu.

Pengerusi GPSS, Datuk Dr Yaser Ikhsan berkata artikel yang disiarkan portal tersebut mendesak Raja-Raja Melayu bertindak segera mengatasi kes kematian Teoh Beng Hock.

Beliau juga mendakwa penulis menggunakan perkataan kesat menghina Raja-Raja Melayu sekiranya tidak mempedulikan masalah ini.

“Pada 30 Disember dalam portal Malaysia Today telah timbul blogger yang menulis tentang Sultan-Sultan kita yang meminta Sultan mengambil tindakan terhadap isu Teoh Beng Hock yang sebenarnya pada ketika ini belum ada kesimpulan lagi, itu satu kesalahan tetapi apabila blogger ini menulis di hujung catatan itu kalau Raja-Raja ini tidak mengambil tindakan, dia kata Go To Hell!”, tegasnya yang ditemui pemberita Tv Selangor.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seksyen 11, Shah Alam.

Selain isu penghinaan Raja-Raja Melayu, turut dilaporkan mendesak supaya Herald mengugurkan kalimah Allah dalam penerbitan buletin mingguannya yang sudah mencetus kemarahan umat Islam negara ini.

Katanya lagi, Akta Keselamatan Dalam Negeri wajar dikenakan terhadap blogger yang menyiarkan artikel tersebut.

“Kita minta pihak polis sendiri mengambil tindakan menyiasat, mengenalpasti siapa dia dan di mana perlu mengambil tindakan drastik kalau perlu di sini letaknya ISA digunakan kerana orang-orang macam ini akan menyebabkan implikasinya nanti bangsa kita yang pelbagai kaum yang dalam keadaan aman dan damai sekarang ini akan menjadi berpecah belah”, jelas Yaser lagi.

Kata Datuk Yaser, satu memorandum bantahan isu ini bakal dikemukakan kepada pejabat Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Penerangan, Kementerian Dalam Negeri dan Sultan dalam masa terdekat. - NIZAM

No comments

Powered by Blogger.