Jaipk kaji isu pelihara agama

Oleh Ahmad Qayyum

DSC_0323 - Mohamah Noor dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Persekutuan Seruan Islam Perak di Jalan Seruan di sini, semalam.IPOH – Satu kajian terperinci akan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi menyenaraikan beberapa perkara dalam Islam yang tidak boleh disentuh oleh agama lain.

Pengarahnya, Datuk Mohamah Nor Mansor (gambar) berkata, kajian ini perlu diteliti dari semua sudut kerana ia cukup sensitif dan boleh mewujudkan pelbagai persepsi kepada masyarakat khususnya umat Islam.

Menurutnya, dalam konteks agama, kita boleh bersahabat dengan semua orang tetapi tak mungkin dia boleh sama-sama beribadat kerana agama yang berlainan.

“Agama orang lain kita biarlah, agama dia, kita pun tak pernah ganggu, agama kita pun kita tak suka orang lain ganggu, itu sikap kita yang dari dulu.”

“Sebab itu tidak pernah lagi orang Islam nak ganggu pembinaan kuil atau gereja, orang lain pun tak pernah ganggu kita tentang pembinaan masjid,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Persekutuan Seruan Islam Perak di sini petang semalam.

Beliau berkata, jika semua pihak saling berhati-hati dalam isu-isu berkaitan, tidak mungkin perkara yang tidak ingini akan timbul.

Ketika diminta mengulas berhubung penggunaan perkataan-perkataan yang bersumberkan Islam di negeri ini, beliau berkata, “Jaipk masih lagi mengkaji.”

“Memandangkan saya masih baru dalam Jaipk, saya sedang berbincang dengan pihak-pihak yang berkaitan seandainya mempunyai kalimah-kalimah tertentu yang telah digazetkan untuk hanya digunakan untuk orang Islam.”

“Dalam masa yang sama, saya bersetuju sekiranya diadakan dialog secara perundingan harmoni berhubung isu-isu sensitif agama namun mencadangkan agar garis panduan yang jelas diwujudkan,” ujarnya.

Mohamah berkata, garis panduan perlu jelas mengenai apa yang harus dibincang dan apa yang tidak boleh dibincang oleh jawatankuasa yang bakal ditubuhkan bagi menjaga kepentingan agama dan kaum dalam usaha mengekalkan keamanan.

“Penekanan dalam soal hormat-menghormati antara sesama kaum dan agama adalah sangat penting untuk menjamin tidak berlakunya sesuatu yang tidak diingini di negara ini.”

“Dalam Islam dialog sentiasa terbuka dan tiada yang patut ditakutkan kerana dalam Al-Quran juga sentiasa menyuruh berdialog, ‘berdebatlah kamu dengan cara yang terbaik.”

“Kita bersikap menghormati agama-agama lain. Jadi kenapa kita tidak boleh berdialog, jikalau dialog diadakan secara tertutup, ia akan menguatkan lagi prasangka di kalangan kita semua,” tegasnya.

No comments

Powered by Blogger.