Jangan salah guna wang rakyat

Sumber : Sinar Harian

SHAH ALAM – Sebagai sebuah parti politik, UMNO bebas melakukan apa-apa program untuk menarik sokongan rakyat tetapi jangan menyalahgunakan wang kerajaan untuk program UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Pusat hendak melaksanakan program-program membantu rakyat, tetapi jangan dilakukan atas nama UMNO jika menggunakan wang kerajaan.

Menurutnya, sebagai contoh janji baik pulih pangsapuri Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung akan menggunakan wang kerajaan sebanyak RM15.6 juta bukan wang UMNO maka ia tidak boleh dikaitkan dengan UMNO dan kempen UMNO Juara Rakyat.

“Program ini dilancarkan setelah usaha-usaha lain untuk mendapatkan sokongan rakyat gagal dan ia juga akan gagal kerana rakyat nampak kempen ini hanya untuk mendapatkan undi semata-mata.

“Saya melihat ia sebagai satu permulaan kepada kempen pilihan raya umum yang akan datang.

“Kita tidak gentar dengan kempen ini kerana Pakatan Rakyat (PR) memang telah meletakkan kepentingan rakyat paling utama malah kami tidak perlu mendabik dada yang kami juara kerana memadailah dengan program kerajaan Selangor seperti merakyatkan ekonomi Selangor,” katanya.

Iskandar berkata, beliau yakin dengan program-program yang telah dilaksanakan PR, rakyat akan dapat melihat siapa juara rakyat yang sebenarnya dan siapa yang hanya bermain politik.

Beliau juga mengalu-alukan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menyahut cabarannya berhubung isu Bukit Beruntung supaya Kerajaan Pusat menyumbang kepada kos baik pulih, kerana ia telah berlarutan selama lapan tahun.

Beliau berkata, BN wajar menyumbang untuk menebus dosanya yang tidak menghiraukan nasib penduduk kawasan itu sejak sekian lama.

“BN telah berjanji untuk membaik pulih tetapi hanya tiga blok sahaja yang dibaik pulih sebelum PRU 2008 dan itu pun tidak sempurna. Walhal kerajaan PR telah membelanjakan hampir RM400,000 untuk baik pulih dua blok dengan reka bentuk dan penyelenggaraan profesional oleh JKR.

“Bukankah kesilapan perancangan BN yang telah menjadikan kawasannya seperti Bukit Beruntung, Bukit Sentosa dan Lembang Beringin menjadi ‘ghost town’ atau bandar hantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafiei menyifatkan kempen Juara Rakyat hanyalah ‘syok sendiri’ dan retorik semata kerana BN merupakan parti politik yang telah ditolak oleh rakyat, mereka akan keluar dengan pelbagai strategi baru.

Bagaimanapun, beliau tidak nafikan kebaikan yang diberikan kepada rakyat tetapi dalam masa yang sama mereka telah merompak tanah dan menindas rakyat.

Menurutnya, program ini juga dilihat seolah-olah seperti ‘apabila sudah terhantuk baru tengadah’, apabila terdesak baru BN hendak buat itu dan ini.

“Apa yang dilakukan BN sangat berbeza dengan PR yang sentiasa mendengar luahan hati rakyat. Kita akan sentiasa cuba membantu rakyat tetapi jika tidak dapat melaksanakannya kita akan menerangkan situasi sebenar atau memberi alternatif lain,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Santiago berkata, program tersebut dilaksanakan setelah melihat kepentingan dan ideologi UMNO mula tergugat.

Menurutnya, BN terpaksa mencipta pelbagai program untuk menarik dan mendapatkan semula sokongan rakyat.

Bagaimanapun katanya, rakyat hari sudah semakin matang dan bijak menilai setiap apa yang dilakukan oleh kerajaan dan apa yang dilihat mereka.

No comments

Powered by Blogger.