OKU: Ketua Pesuruhjaya SPRM minta maaf kepada Karpal Singh

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/iltc_sprm.jpg

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
----------------------------------
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada laporan media berhubung kenyataan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPRM dalam satu perbicaraan mahkamah pada 18 Januari 2010.

SPRM dimaklumkan bahawa Peguam Kanan Persekutuan tersebut telah menarik balik kenyataan yang dibuat dan permohonan maaf telah dibuat oleh beliau kepada individu berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM mewakili warga SPRM ingin memohon maaf di atas kenyataan tersebut dan tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam perkara ini.

SPRM juga merujuk kepada dakwaan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD) dan Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC) yang dikatakan terpaksa menunggu lama untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta ketiadaan pegawai SPRM untuk menerima memorandum tersebut.

Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya menerima permohonan daripada ILTC berhubung penyerahan memorandum tersebut melalui faksimili jam 10.03 pagi pada 18 Januari 2010. Dalam permohonan tersebut, ILTC meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur untuk menerima memorandum tersebut pada jam 11.30 pagi.
Namun begitu, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dapat hadir kerana pada waktu yang sama beliau menghadiri Majlis Perasmian MyID dan Mesyuarat Agensi-Agensi Sektor Awam oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Walau bagaimanapun, pihak SPRM Wilayah Persekutuan telah diminta untuk menerima memorandum tersebut bagi pihak Ketua Pesuruhjaya.

SPRM memohon maaf di atas segala kesulitan yang dilalui oleh pihak MADD dan ILTC dan akan memastikan perkara ini tidak berulang lagi.

IBU PEJABAT
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA, PUTRAJAYA
19 JANUARI 2010

No comments

Powered by Blogger.