Penduduk Taman Kinrara Seksyen 1 Diganggu Samseng?

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Kira-kira 400 penghuni rumah pangsa kos rendah Taman Kinrara Seksyen 1 di sini mengeluh kesal kerana kehidupan mereka sering diancam kumpulan samseng yang diupah syarikat pemaju selepas tercetusnya isu gangguan bekalan air dan khidmat penyelenggaraan yang dibekalkan syarikat tersebut tidak memuaskan.

Salah seorang wakil penduduk di sini Jali Kassim, 48, berkata, syarikat pemaju telah bertindak menyekat bekalan air sehingga menyebabkan penduduk di sini telah bertindak membuka semula bekalan air tersebut.

"Penduduk pecahkan kunci, kemudian pemaju hantar samseng untuk ugut kami agar tidak membuka semula paip bekalan air tersebut," kata Jali kepada erapakatan.com baru-baru ini.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata, kejadian ini semakin serius berlaku selepas 15 tahun.

"Sekarang, pemaju mula cat bangunan ini supaya kelihatan baru. Tetapi, kami syak mereka mungkin mahukan semula rumah ini. Rata-rata penduduk di sini telah menerima kata-kata kesat daripada pemaju. Kata pemaju itu, kalau tak boleh bayar bil air dan kos penyelenggaraan, boleh keluar daripada rumah ini," katanya.

Dakwa penduduk, syarikat pemaju PTC Marketing Sdn Bhd yang menyelenggara kemudahan untuk penduduk di sini tiada hak mengunci bekalan paip air kerana sumber air itu hanya berhak dihentikan oleh syarikat pembekal air; Syabas.

Menceritakan pengalamannya diugut samseng, Ganesan, 53, berkata syarikat pemaju mengguna sejenis alat pengunci yang kerap ditukarganti jika alat itu dipecahkan para penduduk yang mahu menggunakan air setiap hari.

"Kalau kami pecahkan alat pengunci air itu, pemaju akan denda kami sebanyak RM150 sebagai gantian kepada harga alat pengunci itu," kata beliau lagi.

Seorang pengusaha restoren Haji Md Sharafath Muneer Seeni Hassan berkata, sehingga kini, beliau telah mengeluarkan 9 keping cek untuk membayar bil air dan segala kos yang berkaitan dengan masalah perumahan para pekerjanya di sini.

"Pekerja saya terpaksa pecahkan kunci air sebelum ini, sebab mereka mahu mandi," kata beliau. "Jadi, saya kena denda. Kemudian, saya sudah bayar jumlah keseluruhan tunggakan bil air itu. Jumlah semuanya lebih RM10,000."

Berdasarkan tinjauan, bil tunggakan air dan kos penyelenggaraan paling tinggi setakat ini berjumlah RM18,324 yang dikenakan ke atas Valaitham a/l Suppiah.

Mewakili para penduduk di sini, Md Sharafath Muneer berkata, mereka tidak ada masalah untuk membayar, tapi hal pembayaran itu perlu disebut dengan jelas terlebih dahulu.

"Kalau betul-betul mahu selesaikan masalah, bawa notis mahkamah, kalau mereka berada di pihak yang benar," kata beliau. "Dan, ada juga penduduk yang boleh membayar bil tunggakan itu sedikit demi sedikit. Tapi, jangan gunakan samseng sehingga mengganggu kehidupan kami."

Tapi, tambah beliau, masalah yang berlaku sehingga kini, pemaju tidak mahu penduduk membayar sedikit demi sedikit, sebaliknya jumlah itu perlu dibayar sekali gus.

Menurut tinjauan erapakatan.com, antara punca kenapa kejadian itu berlarutan dalam tempoh yang lama, ialah disebabkan penghuni di situ tidak menubuhkan Joint Management Body (JMB) yang boleh berfungsi sebagai badan perantara antara syarikat pemaju dan penghuni di situ.

Penubuhan JMB adalah di bawah tanggungjawab syarikat pemaju. Mana-mana pemaju yang gagal menubuhkan JMB bagi pihak penduduk boleh didenda sebanyak RM20,000 di bawah Akta Hartanah Awam dan Bangunan (Pengurusan dan Penyelenggaraan) Akta 2007.

Beberapa penduduk lain yang enggan nama mereka disiarkan berkata, ketika berbincang dengan pemaju melalui telefon, mereka pernah diminta keluar dari rumah tersebut, jika tidak mampu membayar jumlah bil tunggakan air tersebut.

1 comment

is said...

so apa lagi jumpa lah dengan wakil rakyat di sana iaitu "kok kerek kok"

Powered by Blogger.