TENGKU Muhammad Faris Petra mengimamkan solat hajat

http://3.bp.blogspot.com/_PruDBTwPQ8o/S0_PoTA4fBI/AAAAAAAACD4/-S9Sr-zgiG0/s400/faris

TENGKU Muhammad Faris Petra mengimamkan solat hajat mendoakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan yang ketika ini sedang gering dalam rawatan di Singapura di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Majlis doakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, malam tadi mengimamkan solat hajat dan menyertai majlis bacaan Yassin yang disertai lebih 1,000 rakyat Kelantan yang diadakan secara terbuka dalam Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini.

Majlis anjuran Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan, bertujuan mendoakan kesejahteraan kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang ketika ini sedang gering dalam rawatan di Singapura serta pentadbiran kerajaan dan rakyat Kelantan yang kini dipayungi Pemangku Raja.


Terdahulu, ketibaan Tengku Muhammad Faris Petra kira-kira jam 7 malam, disambut Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan negeri.

Solat hajat itu diadakan susulan majlis meraikan kepulangan Pemangku Raja dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa petang semalam, yang dianjurkan jawatankuasa berkenaan bagi melafazkan kesetiaan dan sokongan kepada baginda.

Pada majlis ringkas itu, Tengku Muhammad Faris Petra sempat melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang berhimpun menanti kepulangannya.

"Terima kasih, terima kasih semua kerana hadir," titahnya secara spontan sambil bersalaman dengan pelbagai lapisan rakyat, dan dianggarkan lebih 5,000 menyambut kepulangan baginda dari Kuala Lumpur.

Beliau bertitah demikian sejurus selesai mengaminkan doa selamat yang dibacakan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

1 comment

lhakim said...

ALHAMDULILLAH..SEJUK HATI TENGOK MACAM NI..MACAM NI LA CARA GUNA STADIUM SELAIN MAIN BOLA

Powered by Blogger.