Umat disyor lakukan solat sunat Gerhana Matahari

KOTA BHARU - Umat Islam di negeri ini disyorkan supaya menjalani solat sunat Gerhana Matahari dua rakaat pada hari ini (15 Januari) bermula jam 3.03 petang hingga 5.45 petang.

Pegawai Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Ahmad Talhah Abdul Rahman, berkata, fenomena Gerhana Matahari Separa akan berlaku dengan kadar 34.5 peratus.

“Ia meliputi tiga fasa dalam tempoh berkenaan iaitu pada jam 3.03 petang Fasa Sentuhan Pertama (mula gerhana), jam 4.31 petang Fasa Maksimum (34.5 peratus matahari tertutup) dan 5.45 petang bagi Fasa Sentuhan Ter-akhir (tamat gerhana).

“Waktu yang paling elok untuk melakukan solat sunat Gerhana Matahari ini pada jam 3.30 petang pada hari ini,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, pada hari ini juga Gerhana Cincin dijangka berlaku di bahagian Tengah Afrika, Lautan Hindi, Kepulauan Maldives, Selatan India, Utara Sri Lanka, Burma dan China, manakala di Malaysia khususnya di Kelantan pula akan menyaksikan Gerhana Matahari Separa.

“Dengan kejadian fenomena ini, ia memperingatkan umat Islam mengenai Hari Kiamat, kebesaran Allah yang menguji manusia dan tanda kekuasaan Allah.

“Pada 26 Januari 2009, berlaku Gerhana Cincin, akhir Disember lalu Gerhana Penuh yang kemudian dijangka akan dilihat pada 2042 nanti dan pada 1 Januari baru-baru ini berlaku Gerhana Bulan,” katanya.

Program cerapan dan solat sunat Gerhana Matahari turut diadakan di Dataran Balai Islam, Lundang di sini, hari ini. SH

No comments

Powered by Blogger.