BN Edar Risalah Perkauman Di Kawasan Melayu

Oleh Faizal Ezzany

SIBU 10 Mei - Angkatan Muda KEADILAN membuat laporan polis terhadap tindakan penyokong Barisan Nasional menimbul ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian kaum di Sibu dengan mengedar risalah tentang DAP yang bersifat perkauman di kawasan penduduk majoriti pengundi Melayu.

Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pagi tadi menjelaskan beliau telah menjumpai dua risalah yang bersifatkan perkauman dan menyifatkan ia sebagai taktik jahat Umno-Barisan Nasional untuk menimbulkan suasana yang tidak diingini dikalangan penduduk pelbagai kaum di Sibu.

"Saya telah menjumpai dua helai risalah berhampiran bilik gerakan utama Parti Keadilan Rakyat semalam dan bila saya meneliti kandungan risalah tersebut saya dapati ia bersifat melampau dan keterlaluan.

"Risalah yang bersifat menghasut itu boleh menjejaskan keselamatan negara serta boleh mencetuskan perpecahan dan mendatangkan pergaduhan yang bersifatkan perkauman.

"Risalah yang bertajuk 'Wajah Sebenar DAP dan Benci Pada Bumiputra dan Islam' turut bersertakan logo BN, risalah itu adalah bohong dan fitnah semata-mata," jelas Fariz.

Fariz juga bimbang dengan pengedaran risalah tersebut kerana tindakan BN edarkan risalah tersebut boleh menimbulkan keadaan huru-hara di Sibu.

"Kita bimbang dengan pengedaran risalah tersebut, kita tahu apa yang telah berlaku pada 13 Mei dulu dan bila ini digunakan oleh Barisan Nasional mereka hanya menimbulkan situasi yang akan memberi keadaan yang huru-hara selain pergaduhan antara kaum.

"Laporan telah dibuat berharap pihak polis dapat membuat siasatan dan tindakan tegas terhadap pihak terbabit diambil. Siasatan yang telus perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Selain itu juga saya harap pihak polis memperketatkan pemantauan serta mengambil tindakan menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat. Saya beranggap pengedaran risalah ini akan diteruskan sepanjang kempen pilihan raya kali ini," kata belliau lagi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.