Karpal Kata Saiful Bohong

Oleh Sidikin Omar

KUALA LUMPUR 10 Mei - Karpal Singh yang mewakili Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes fitnah II terhadap beliau akan mengemukakan 'kenyataan beramaran' kepada Mohd Saiful Bukhari

Azlan kerana di dakwa berbohong di dalam prosiding mahkamah hari ini.

Semasa sesi soalbalas pagi tadi Saiful di dakwa Karpal berbohong apabila pemuda berusia 25 tahin itu menyanggah laporan perubatan oleh tiga pakar daripada Hospital Kuala Lumpur yang mengatakan tidak berlaku liwat pada duburnya adalah tidak benar.

Saiful juga menidakkan laporan perubatan oleh Dr Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur yang mengesahkan kesakitan dialami Saiful dibahagian dubur dan perut beliau disebabkan oleh kemasukan objek plastik ke dalam duburnya.

Prosiding mahkamah kemudiannya ditangguh selepas peguambela Karpal Singh berkata beliau mendapati Saiful berbohong di dalam mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Md Diah membenarkan dan menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengahari tadi sehingga pukul 9 pagi esok bagi Karpal membuat penghujahan penuh untuk mendapatkan kenyataan beramaran tersebut.

Anwar ketika menemui media di lobi mahkamah berkata penglibatan kerajaan khususnya pasukan polis dan badan kehakiman jelas mempengaruhi perjalanan mahkamah.

"Bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes ini jelas apabila pegawai polis ACP Rodwan Yusof bertemu Saiful di Hotel Melia di ibu kota secara terbuka empat hari sebelum laporan polis dibuat.

"Apa yang amat mengejut dan pertama kali dalam sejarah, senarai nama saksi tidak diberikan kepada pihak peguambela," ujar Anwar.

Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menyifatkan kredibiliti Saiful sebagai saksi boleh dipertikaikan kerana beliau sepatutnya tidak boleh mempersoalkan laporan doktor berhubung kes tersebut.

"Adakah Saiful cuba berselindung seolah-olah beliau cuma mengikut arahan dan skrip yang disediakan oleh pendakwaraya?

"Tindakan Saiful berkata doktor berbohong sama seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata Dr Pornthip berbohong di dalam kes Teoh Beng Hock yang mati dibunuh ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini," tegas Yusmadi.

Tambah beliau lagi, doktor semasa menyediakan laporan perubatan hanya berpandukan kepada fakta dan bukti saintifik.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.