Kekanda Sultan Kelantan Dakwa Pemangku Raja Kelantan Dilayan Macam Robot

Tengku Datuk Salwani Sultan Yahya Petra, kekanda Sultan Kelantan, mendakwa Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra menderita lebih sembilan tahun dengan diberikan pelbagai tekanan oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam kemunculan sidang media pertama di sebalik krisis Istana Kelantan, Tengku Salwani berkata, Pemangku Raja yang merupakan putera sulong Sultan Kelantan “telah dibuat semacam robot walaupun umur telah meningkat ke 40 tahun, masih lagi diperlakukan seumpama kanak-kanak.”

Tengku Salwani, kekanda ketiga Sultan Kelantan mengadakan sidang media bersama kekandangnya Tengku Datuk Rozan di sini hari ini.
Bagaimanapun Tengku Salwani tidak menyatakan bentuk tekanan dan siapa yang bertindak secara langsung.

“Syukurlah pada hari ini Pemangku Raja Kelantan telah diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. dan matang dalam menangani krisis yang berlaku kini.
“Pemangku Raja Kelantan bertindak matang dengan merujuk sesuatu perkara kepada pakar dalam bidang yang berkaitan dan dilaksanakan dengan berhati-hati,” kata Tengku Salwani dengan membacakan teks kenyataan yang disediakan.

Tengku Rozan juga membacakan kenyataannya yang berasingan pada sidang media diadakan di Rumah Kelantan di sini ketika Mahkamah Khas membuat persediaan untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong untuk membawa keluar Sultan Kelantan dari Hospital Universiti Sains Malaysian (HUSM).

Sultan Kelantan sedang menerima rawatan susulan di HUSM selepas rancangan untuk membawa baginda ke Singapura terhalang.

Sambil mengatakan bahawa krisis semasa akan selesai jika setiap kerabat diraja mengikut nasihat Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara, Tengku Salwani memberitahu Pemangku Raja sentiasa bertindak adil dan tenang dalam menghadapi tindakan mahkamah ke atas baginda.

“Ia hanya dengan mempertahankan diri dan tidak memulakan sesuatu tindakan,” katanya.
Kenyataan Tengku Rozan juga mempertahankan tindakan Pemangku Raja Kelantan khususnya dalam soal rawatan susulan di HUSM, yang didakwa sesetengah pihak sebagai “tindakan mengurung” Sultan Kelantan.

Menceritakan perkembangan di HUSM, Tengku Salwani berkata, Pemangku Raja Kelantan telah mengeluarkan titah arahan kepada polis untuk mengawal bilik rawatan Sultan Kelantan dan meminta supaya mereka yang membuat kecoh dan memaki hamun di bilik rawatan agar dikeluarkan.

“Pihak polis menjalankan arahan untuk menjamin keselamatan dan rawatan yang sempurna dapat diberikan kepada Tuanku Sultan.
“Nama yang diberikan kepada polis adalah nama yang dijangka tidak mengakibatkan huru-hara.

“Nama yang lain boleh dibenarkan tetapi perlu mendapat kebenaran Pemangku Raja Kelantan terlebih dahulu,” katanya.

Tengku Salwani seterusnya berkata Raja Perempuan tidak membenarkan orang-orang yang tidak dipercayainya termasuk doktor dan alim ulama menziarahi Sultan Kelantan.

Apa yang berlaku pada 4 Mei lalu, menurut Tengku Salwani ialah Raja Perempuan dan Tengku Merjan telah berada di luar wad diraja HUSM selama sejam kerana pada masa berkenaan Pemangku Raja Kelantan berada di wad Sultan Kelantan.

“Pihak polis menerima arahan pada waktu itu supaya tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke wad Tuanku.

“Semasa titah arahan diberikan Raja Perempuan Kelantan pulang ke Istana Mahkota untuk tujuan-tujuan yang baginda sahaja yang tahu.

“Arahan diberikan kepada pihak polis untuk mengawal hanyalah kerana sikap beberapa orang yang memaki-hamun pihak tertentu di dalam wad Tuanku.
“Inilah puncanya Tuanku menjadi ‘stress’ kerana gangguan daripada orang-orang tertentu yang melawat Tuanku,” katanya.

Tengku Salwani berkata, beliau yakin ada maklumat mengenai orang-orang yang memaki-hamun dan mengeluarkan kata-kata sinis kepada pegawai-pegawai dan pihak polis termasuklah kakitangan HUSM dan kakitangan kerajaan.
“Saya amat berharap agar perkara ini dapat didedahkan kepada umum jika keadaan memerlukan,” kata Tengku Salwani lagi.TMI

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.