Masjid India – cerita sedih berpanjangan

Sejak kebelakangan ini saya sering melihat program-program UMNO di kawasan Masjid India. Program melibatkan program kesihatan dan beberapa program kemasyarakatan lain. Namun Masjid India – masih bergelumang dengan kisah lama. Kisah yang tidak boleh diselesaikan oleh Dewan Bandar Raya ( DBKL) yang semakin lama semakin di katakan penuh dengan korupsi. Kawasan peniagaan yang nampak aman ini bergolak dengan masalah yang di himpit ke atas peniaga di sana.

Peniaga-peniaga ini semuanya warga kota yang mahu menentukan nasib diri dan keluarganya. Mereka berhempas pulas berniaga – berusaha untuk membebaskan diri dari kemelut kemiskinan kota. Namun dalam usaha itu, warga asing dengan ketiadaan tanggungjawab sosial lain terus menjadi saingan dengan bantuan beberapa kerat Melayu oportunis yang hidup bagai lintah darah – menghisap darah orang lain. Mereka ini turut dibantu oleh pegawai-pegawai penguat kuasa DBKL yang sama-sama hidup mungkin atas suapan rasuah kerana apa yang berlaku sering berlaku di hadapan mereka tanpa mereka menghiraukan. Media tempatan sering kali memaparkan berita mengenai kehadiran warga asing yang berniaga tanpa permit dan kelulusan tetapi ia setakat menghiasi surat khabar tanpa alasan yang konkrit.

Keadaan masih sama. Kepincangan berlaku, peniaga tertindas. Perniagaan merosot – along dan ceti menjadi talian hayat yang lebih menyusahkan. Apa yang berlaku adalah penundaan kesulitan yang akan lebih menyulitkan bila masa ceti dan along perlu dibayar.

Apa sebenarnya berlaku. Isu ini sudah hampir 4-5 tahun masih tidak dapat diselesaikan. Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur semakin tidak boleh diharapkan. Kesusahan peniaga bukan masalah mereka. Mereka berjalan, mundar-mandir seakan semuanya berjalan lancar. Keadilan tidak ditegakkan. Penulis seakan tidak mempercayai masalah seperti ini TIDAK DAPAT diselesaikan oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur. Penyelesaian amat mudah sekiranya keadilan di tegakkan dan kemungkinan sekiranya rasuah di hapuskan.

Bayangkan dengan kedudukan DBKL yang begitu besar dan kakitangan yang cukup tetapi penerapan nilai kerja yang tidak mempunyai nilai untuk berkhidmat cemerlang dan cukup jiwa untuk membantu rakyat – maka segala-galanya menjadi kusut masai – tidak terurus, akhirnya keadilan tidak tercapai. Bayangkan betapa daifnya DBKL dalam menyelesaikan perkara-perkara yang mudah – yang boleh diselesaikan tetapi tidak juga dapat diselesaikan.

Apa sebenarnya masalah DBKL? Ini adalah persoalan yang perlu diutarakan, supaya masalah lain mengenai kemasyarakatan – kemanusiaan dan nilai kerja dapat diselesaikan selepas itu. Masalah mengubah struktur masyarakat kota – minda mereka – kedudukan ekonomi mereka – perancangan strategik – keadilan dan kemiskinan warga kota boleh diselesaikan dengan menyelesaikan masalah dalaman DBKL.

Akhirnya kita terlepas pandang. Masalah yang dihadapi oleh warga peniaga Masjid India tidak akan dapat di selesaikan. Masalah ini akan melimpah dan bahananya akan singgah untuk membentuk kepincangan struktur masyarakat kota – menjadikan kemiskinan melarat dan kedudukan sosioekonomi terjejas teruk BERPUNCA dari DBKL. Akhirnya kita perlu sedar – DBKL yang perlu diubah untuk mengubah dan menerapkan keadilan kepada peniaga – peniaga Masjid India. Selagi ini tidak diselesaikan maka – masyarakat kota di Masjid India dan di kawasan lain yang mempunyai peniaga-peniaga seangkatan dengan Masjid India akan terus di rundung malang – malang yang tidak putus-putus.


http://umno-reform2.com/front/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.