Mugilan dipecat kerana pertikai Samy, Hulu Selangor bukan isu

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan dipecat dari MIC serta-merta semalam kerana mempertikaikan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berhubung pelan peralihan kuasa diumumkan tiga hari lalu.

Berdasarkan kandungan surat pemecatan yang diperoleh The Malaysian Insider pagi ini, Samy Vellu merujuk kepada kenyataan desakan dibuat Mugilan kelmarin yang memintanya berundur segera dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden Datuk G. Palanivel.

Dalam reaksi segera kepada desakan Mugilan itu kelmarin juga, Samy Vellu berkata Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC dan Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

Antara lain kandungan surat itu yang ditandatangani Samy Vellu menyebut Presiden MIC itu merujuk kepada kenyataan media yang dibuat Mugilan di Petaling Jaya kelmarin.

“Perhatian saya merujuk kepada kenyataan akhbar yang anda buat semalam meminta pengunduran saya dengan segera. Anda telah bertanya, ‘Adakah anda berfikir beliau boleh buat apa yang beliau telah gagal sepanjang 30 tahun lalu pada tahun depan’ dan menambah, ‘Jika Samy kekal, BN akan keluar’.

“Anda juga ada mengatakan bahawa ‘Samy adalah halangan besar. Beliau adalah punca kita kehilangan undi masyarakat India,’” katanya.

Samy Vellu menggunakan kuasa beliau selaku presiden parti untuk memecat Mugilan.

Samy Vellu dalam suratnya itu berkata, Mugilan telah bertindak bertentangan dengan peruntukan Artikel 58(2) yang membolehkan seorang presiden berkhidmat untuk satu tempoh selama tiga tahun.

Selain itu kata Samy Vellu, Mugilan telah memburuk-burukkan namanya selaku seorang presiden, dan dengan itu bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC.

“Oleh itu, selepas berbincang dengan timbalan presiden, saya telah memutuskan untuk memecat anda dari Kongres (MIC) secara serta-merta selaras dengan Artikel 61.2 Perlembagaan (parti),” kata pemimpin veteran ini yang menerajui MIC sejak 1979.

Menerusi surat satu muka surat itu Samy Vellu berkata, Mugilan boleh merayu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempph 14 hari.

Mugilan mendakwa Samy Vellu pemimpin “yang cakap lain, buat lain.”— gambar fail
Mugilan dalam reaksinya kepada The Malaysian Insider berkata, beliau akan mengemukakan rayuan Isnin ini.

Kelmarin, tidak sampai empat jam selepas Mugilan mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan presiden serta-merta, pemimpin nombor satu MIC itu menegaskan, Timbalan Ketua Pemuda MIC itu akan dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan BN ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor.

“Dia (Mugilan) sebenarnya bertindak melulu dan menjangkakan keputusan parti akan mengambil tindakan ke atasnya kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan BN ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Samy Vellu berkata, Mugilan merupakan salah seorang daripada mereka yang bertindak bertentangan dengan kepentingan BN selepas Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor itu gagal dipilih sebagai calon.

Hubungan Samy Vellu dan Mugilan dingin menjelang pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Mugilan disebut-sebut akan dipilih sebagai calon BN untuk bertanding di Hulu Selangor 25 April lalu dengan memperoleh sokongan Umno dan parti komponen BN yang lain.

Pungutan suara menunjukkan Mugilan lebih diminati dan disenangi berbanding Palanivel.

Samy Vellu berkata, MIC sebenarnya mahu mengambil tindakan ke atas Mugilan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi ia ditangguhkan kerana tidak mahu ia menjejaskan sokongan kepada BN.

Malah, semalam sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa surat memecat Mugilan sebenarnya telah disediakan sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor, tetapi hanya dikeluarkan semalam.

Dalam reaksinya, Mugilan berkata, beliau sama sekali tidak terkejut dengan kandungan surat tersebut kerana Samy Vellu seorang pemimpin “yang cakap lain, buat lain.”

Katanya, kandungan surat pemecatan sendiri menunjukkan yang Samy Vellu seorang pemimpin tidak konsisten.

“Kelmarin beliau memberikan alasan saya bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC dan BN sebagai asas mahu merujuk saya kepada jawatankuasa disiplin.

“Tetapi surat saya ini, beliau memberikan alasan saya mempersoalkan kepimpinan beliau (ekoran desakan berundur segera). Apa yang katakan itu adalah betul, beliau tidak konsisten dan akan mengubah lagi tarikh pelan peralihan (kepimpinan),” katanya lagi.

Mugilan juga mendakwa kini surat Samy Vellu dengan sendiri menunjukkan beliau tidak pernah bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC dan BN.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.