Najib, Muhyiddin tidak mahu masalah MIC lemahkan BN

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menggesa MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera Barisan Nasional (BN).

Gesaan ini dibuat ketika BN sedang berusaha untuk pulih daripada prestasi buruk dalam pilihan raya umum 2008.

MIC, antara parti komponen BN yang banyak kehilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008.

Datuk Seri Najib Razak berharap kemelut yang sedang berlaku dalam MIC, salah sebuah parti komponen BN dapat diselesaikan.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata kemelut dalam MIC kini semakin hangat kerana ramai di kalangan pemimpin parti terbesar kaum India itu yang berpendapat perlunya berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti.

“Perkara ini (kemelut kepimpinan MIC) harap dapat diselesaikan oleh MIC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Senai, Johor Baru hari ini.

Dipetik Bernama, Pengerusi BN ini berkata apa yang penting adalah MIC sebagai salah sebuah parti komponen BN perlu turut memainkan peranannya untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong parti pemerintah.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya tentang kemelut yang berlaku dalam MIC ketika ini yang menyaksikan timbalan ketua pemuda MIC, V. Mugilan dipecat berikutan desakannya agar presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatannya dengan segera.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera BN.

“Yang penting jangan parti berpecah. Kalau perpecahan berlaku, ini akan melemahkan kedudukan BN. Kita nak elakkan itu...,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Parlimen Setiawangsa di PPR Sungai Bonus di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno, melahirkan kebimbangan terhadap kesan daripada masalah yang dihadapi oleh parti komponen BN.

“Kita tak mahu dalam situasi sekarang ni, parti komponen yang kita tahu masih belum kuat dihadapkan dengan isu baru.

“Ada satu atau dua perkara yang berbangkit mungkin masalah-masalah tertentu, jadi saya yakin kepimpinan MIC yang sedia ada dapat menyelesaikan masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata pemimpin parti peringkat tertinggi juga telah diberitahu supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan sekiranya ia berlaku, kepimpinan parti tersebut perlu menyelesaikan masalah itu tanpa melibatkan parti komponen lain.

“Yang ini kita dalam pertemuan dengan semua pemimpin komponen dah beritahu janganlah timbulkan apa-apa masalah baru.

“Kalau ada apa-apa isu biar selesaikan, ini soal dalaman. Kita di peringkat tertinggi tak akan campur tangan dalam masalah itu dan saya percaya mereka boleh selesaikan sendiri,” katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.