Nik Aziz: PAS tak bekerjasama dengan parti lebih kuat

KOTA BARU, 21 Mei — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana parti lawan itu lebih kuat daripadanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pengalaman lepas juga mengajar PAS agar tidak mengulangi kesilapan bekerjasama dengan Umno sebelum disingkir daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“...kita ditendang begitu sahaja apabila kita tidak diperlukan. Pengalaman itu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita, kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang lebih kuat daripada kita,” kata Nik Abdul Aziz pada kuliah mingguannya, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz (gambar) berkata PAS mempertimbangkan faktor kekuatan setara itu berasaskan prinsip ‘menang-menang’ yang hanya boleh dicapai jika kedudukan kedua-dua parti sama kuat.

“Islam mengajar supaya kita bekerjasama dengan pihak lawan, jika kedudukan kita sama kuat barulah kerjasama itu mencapai matlamat, kalau tidak kita mudah ditindas,” katanya.

Beliau juga mempertahankan kerjasama PAS dan DAP yang disifatkannya telah banyak membantu masyarakat Cina memahami Islam dan tidak lagi menganggap masyarakat Islam sebagai golongan ekstremis.

DAP juga katanya menerima Islam sebagai asas perjuangan PAS. — Bernama



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.