Perihal judi dan masa depan Islam

Allah swt berfirman dalam surah al Baqarah 219:

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya………..

Isu yang terpampang di hadapan kita pada hari ini adalah lesen judi bolasepak yang diberitakan akan diberi oleh kerajaan Pusat kepada konglomerat judi Berjaya Group milik Tan Sri Vincent Tan. Lesen ini nanti akan membolehkan Berjaya mengambil pertaruhan dari rakyat Malaysia khasnya sempena kejohanan bolasepak Worl Cup 2010 di Afrika Selatan mulai 11 Jun sehingga 11 Julai nanti. Denganlesen inijuga syarikat ini nanti boleh memungut pertaruhan untuk berbagai jenis sukan lain.

Alasan pemberian lesen itu kononnya mahu mengelakkan judi secara “black market” atau haram yang hanya akan merugikan pihak kerajaan.

Hari ini di Malaysia kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional bertanggungjawab meluluskan beberapa lesen judi pertaruhan nombor yang diberikan kepada beberapa syarikat antara yang terbesar termasuklah Magnum, Pan Malaysian Pools dan Berjaya sendiri. Hasil cukai yang dipungut dari industri yang diharamkan oleh Islam ini mencecah RM1.2 bilion.

Ayat di atas jelas mengharamkan kegiatan judi samada berlesen atau tidak dikalangan umat Islam. Sudah pastilah mana-mana umat Islam yang diberi kuasa oleh Allah swt memerintah, akan terpikul beban di atas bahunya untuk memastikan yang kegiatan yang dimurkai oleh Allah swt ini tidak diizinkan dikalangan rakyatnya khasnya yang beragama Islam.

Pada suasana hari ini ayat ini tidak terkena di atas kepala Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin sahaja, tetapi turut terkena pada kepala Nik Abd Aziz, Azizan Abd Razak, Khalid Ibrahim dan lain-lain.

Tetapi di Malaysia pihak yang memberi lesen kepada kegiatan judi adalah Menteri Kewangan iaitu dari kerajaan Pusat. Sejak dari zaman loteri kebajikan masyarakat lagi, kuasa memberi lesen ini terletak pada kerajaan Pusat. Kerajaan-kerajaan negeri sekadar memberikan lesen premis melalui Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Contohnya di Kelantan dan dahulu Terengganu semasa PAS memerintah, lesen-lesen premis bagi kegiatan atau aktiviti judi berlesen telah diharamkan.

Hari ini isunya adalah lesen judi sukan yang mahu diberikan kepada Vincent Tan. Apakah perlu dan mendesak sangat lesen ini pada ketika ini? Hari ini tentangan terhadapnya bukan hanya didengar dari PAS malah pimpinan Umno, BN dan NGO turut bersuara menentangnya. Mantan PM Abdullah Badawi turut mendesak agar pihak kerajaan menghormati pandangan rakyat dan tidak meluluskan lesen ini.

Isu kononnya lesen ini bukan lesen baru tetapi lesen yang dikeluarkan semula kepada Berjaya tidak berbangkit. Yang penting adakah kerajaan BN akan melulus atau mengeluarkan semula lesen ini tanpa mengambil kira bantahan orang-ramai, tanpa sensitif pada luahan hati umat Islam, tanpa taku pada peringatan Allah swt?

Dalam mendepani isu ini kita lihat malah kalangan ahli dan pimpinan Umno pun tidak bersetuju. Tetapi adalah juga segelintir yang menangguk di air keruh. Ada antara yang berkata kenapa kerajaan PR yang turut disertai PAS tidak menuntut agar diharamkan judi yang ada di negeri-negeri PR seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?

Ternyata ianya usaha untuk lari dari isu sebenar, tapi tak mengapalah, bukankah itu memang pun sikap mereka.

Kepada Khir Toyo yang turut termasuk dalam golongan ini, tidakkah saudara sedar lesen premis judi yang ada di Selangor hari ini yang diluluskan oleh pihak PBT seluruh Selangor merupakan warisan kelulusan yang diberikan semasa saudara dan barisan MB sebelum saudara (semua dari Umno) berkuasa dahulu! Kalau Umno benar berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara mengapa tidak saudara tutup sahaja premis-premis ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nik Aziz di Kelantan?

Atas alasan Selangor negeri berbilang kaum, kita raikan dahulu warisan ini. Namun setahu saya ahli-ahli majlis PAS yang duduk dalam 12 PBT seluruh Selangor tidak akan bersubahat meluluskan mana-mana lesen baru di kawasan masing-masing. Saya sendiri selaku ahli majlis di Subang Jaya sepanjang PR memerintah telah menolak lesen-lesen baru dan rakan-rakan ahli majlis dari DAP dan PKR menghormati pendirian PAS itu.Adakah semasa Umno dahulu perkara yang sama berlaku?

Dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor,PBT di Selangor sering mengadakan operasi memastikan premis-premis judi ini tidak dilanggani oleh orang Islam. Dan insyallah kita akan meneruskan operasi ini supaya orang-orang Islam yang terpesong ini tidak lagi melakukan amalan haram itu.

Kehadiran PAS di Selangor contohnya walaupun dengan saham kecil dalam kerajaan campuran ini, tetap tidak sekali-kali menggadai prinsip dan dasar perjuangan. Kita insaf yang kita rakan terkecil namun dalam bab hukum-hakam dan syiar Islam kita sekali-kali tidak akan rela ia dipersenda atau dipermainkan apalagi tidak dihormati. Pencapaian kita yang paling besar adalah menerima pengiktirafan dan penghormatan dari rakan-rakan DAP dan PKR.

PAS akan terus memainkan peranannya kerana tuntutan perjuangannya tidak akan sekali-kali pada dalam apa keadaan dan suasa sekali pun.

Umno bagaimana? Marilah dalam bab Islam ini kita mengenepikan politik kepartian. Umno punya kuasa diperingkat pusat. PM dan TPM serta semua MB-MB kecuali KM Sarawak adalah dari Umno. Mengapa perlu berdolak-dalik dalam isu lesen judi baru kepada Berjaya ini? Batalkan sahaja atau jangan beri kelulusan atas nama Islam. Malah masyarakat bukan Islam pun saya yakin tidak nampak manfaat yang besar dari judi ini yang hanya membawa kesan sosial yang negatif dan keruntuhan rumah tangga.

Kalau Umno berani menjual saya yakin PAS pun berani membeli demi masa depan dan kelangsungan Islam. Kita hormati hak dan amalan rakyat yang bukan Islam tetapi atas sesama Islam kita perlu bertegas dalam memelihara dan mempertahankan Islam.

Buktikan keikhlasan kita bukan hanya menuntut di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di Perlis, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kita pelihara dan martabatkan Islam menurut keupayaan kita.

Yang mendesak hari ini rakyat mahu lihat kerajaan pusat batalkan lesen judi ini, Malaysia boleh?


http://n32.blogspot.com/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.