PM Perlu Perjelas Isu KTMB Tanjong Pagar Di Parlimen

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi penjelasan di Parlimen isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad di Tanjong Pagar yang akan berpindah ke Woodlands. Kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan butiran perjanjian bersama PM Singapura, Lee Hsien Loong agar rakyat dimaklumkan isu berkenaan dengan ini dengan jelas dan munasabah.

AMK Selangor melihat seolah-olah Perdana Menteri mudah ‘tunduk melutut’ kepada permintaan negara-negara luar dalam isu hak dan kedaulatan negara yang bakal merugikan masa hadapan negara. Dalam isu KTMB ini,kita melihat seolah-olah Perdana Menteri tunduk dengan tekanan Singapura apabila dengan mudahnya sanggup bersetuju dengan perpindahan KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands dengan beralasan tanah seluas 12 hektar (29.65 ekar) akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60% Malaysia dan 40% Singapura.

Luas asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar adalah 200 hektar atau 494 ekar (mengikut Singapore Railway Transfer Ordinance 1918) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun. Menjelang hujung tahun ini satu syarikat yang diberi nama M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan yang kononnya 60% milik Malaysia dan 40% milik Singapura. Apakah berbaloi Malaysia akur dengan persetujuan ini dalam masa pendek dan panjang?

AMK Selangor mempersoalkan penubuhan syarikat ini berkenaan pegangan ekuiti tersebut di mana pada masa akan datang yang mudah dibeli oleh pihak Singapura kelak melalui Temasek Holdings Limited. Malahan sebelum ini Malaysia yang sudah pun kehilangan hak kedaulatan Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands. Kali ini sekali lagi negara bakal kerugian besar terhadap potensi masa hadapan yang tidak dapat dikenalpasti dan dinilai pada masa sekarang.

AMK Selangor juga melihat keputusan perpindahan KTMB ke Woodlands Train Checkpoint pada 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor menjelang 2018 adalah agenda terancang Singapura secara berperingkat ‘menghalau’ hak dan kedaulatan Malaysia sedikit demi sedikit yang kelak merugikan negara. Perkara ini ada disebut dalam kenyataan media bersama antara kedua-kedua Perdana Menteri pada 24hb Mei 2010 lepas.

“For the convenience of commuters, the rapid transit system link will have a single co-located CIQ facility in Singapore with the exact location to be determined later. It is targeted that the proposed rapid transit system link will be operational by 2018. Thereafter Malaysia may consider to relocate the KTMB Station from Woodlands to Johor.”

AMK Selangor juga menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan di Parlimen pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura perkara-perkara yang dibincangkan yang perlu diketahui oleh rakyat. Kita tidak mahu, media-media hanya mengumumkan perkara-perkara yang positif tetapi pada realitinya menenggelamkan isu-isu yang amat penting berkenaan hak dan kedaulatan negara.

AMK Selangor menggesa agar kerajaan bertegas dan tidak mudah tunduk kepada negara luar khususnya yang melibatkan hak dan kedaulatan negara. Rakyat tidak sanggup melihat negara kerugian besar di masa hadapan akibat kegagalan Perdana Menteri masakini melihat dan berpandangan futuristik membuat keputusan tepat dan terbaik untuk negara.

Kita menggesa agar rakyat bangkit mempersoalkan kewajaran keakuran kerajaan Malaysia berkenaan isu-isu dengan Singapura mutakhir ini. Kita mahu hak dan kedaulatan negara tidak mudah tergadai dan digadai kepada negara luar dengan mudahnya. Negara ini adalah hak, amanah dan tanggungjawab kita semua bersama-sama.

Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.