PRK Sibu: Antara Kalimah Allah, Negara Islam dengan ISA

Oleh Wong Shu Qi

Akhirnya agama menjadi isu dalam PRK Sibu. SUPP-BN menyerang DAP-PR dengan isu "Negara Islam", mendakwa isu penggunaan kalimah Allah langsung tidak timbul di Malaysia Timur sehingga pertikaian ini dibawa masuk dari Semenanjung; sementara DAP pula mencabar agar SUPP mendesak PM Najib untuk menyatakan pendirian, sama ada Malaysia sebuah negara sekular, atau negara Islam.


Dalam satu sidang media pada 10 Mei, Ketua Penerangan dan Publisiti SUPP, Daniel Ngieng Kiong Ann (gambar kanan) menegaskan bahawa orang asli yang beragama Kristian seperti Iban telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka, sama ada dalam kitab injil mahupun ketika bersembahyang sejak ratusan tahun lagi, malah tiada pengharaman dikenakan.

"Di Sarawak, adakah kalimah Allah menjadi isu?" tanya Daniel Ngieng Kiong Ann.

Politik Semenanjung

Malah, SUPP melabelkan DAP sebagai parti dari Semenanjung Malaysia, cuba membawa masuk agenda politik dari Semenanjung ke Malaysia Timur. "Jangan meracuni rakyat Sarawak dengan politik Semenanjung," demikianlah amaran yang diberikan oleh Daniel Ngieng Kiong Ann kepada DAP.

Daniel Ngieng seterusnya menyasarkan isu "Negara Islam", mencabar agar DAP mendesak rakan parti Pakatan Rakyat, PAS untuk menggugurkan agenda penubuhan Negara Islam. Jika gagal berbuat demikian, DAP harus meminta maaf kepada masyarakat Cina, katanya.

Isu "Negara Islam" terus dibangkitkan, malah Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh hari ini membacakan beberapa fasal dalam perlembagaan parti PAS, yang ditafsirkannya sebagai "menuju ke arah matlamat penubuhan Negara Islam".

"Usah berdebat dengan saya kalau beliau (Lim Kit Siang) gagal melakukannya (memujuk agar PAS memansuhkan fasal tersebut)," sindir Wong Soon Koh dalam satu sidang media yang diadakan pada hari ini.

Nizar turun berkempen untuk DAP

Namun demikian, DAP tidak mengelak ketika berdepan dengan serangan isu "Negara Islam" kali ini. Malah, bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak, Mohd Nizar Jamaluddin dari PAS telah turun ke padang dan berkempen untuk DAP di kalangan penganut Kristian dan Katolik setibanya di Sibu, semalam.

Dalam satu majlis "Bersama pemimpin Pakatan Rakyat" di Hotel Paramount semalam, Nizar Jamaluddin tampil untuk meleraikan segala kekhuatiran yang menyelubungi minda pengundi bukan Islam terhadap PAS. Malah, sambil berseloroh calon DAP-PR, Richard Wong Ho Leng berkata kepada hadirin, "Tanyalah sepuas-puasnya sebelum pulang ke rumah!"

Richard Wong yang pernah mengunjungi negeri Perak ketika Nizar Jamaluddin menerajui tampuk pimpinan kerajaan negeri, mengundang Nizar untuk bertemu dengan penduduk Sibu, agar mereka boleh menilai, "sama ada Nizar seorang ektremis, penyangak malah terroris?"

Pengenalannya menggelakkan penduduk Sibu, lebih-lebih lagi apabila ucapan Nizar menyentuh hati sesetengah hadirin, yang dibalas dengan tepukan. Ketika menjawab keresahan seorang bukan Islam, yang melontarkan soalan sejauh manakah hak bukan Islam terjamin seandainya PAS benar ingin menubuhkan Negara Islam?

Patung Buddha terbesar di Kelantan

Nizar bertanya balik, sama ada beliau menemui istilah "Negara Islam" seandainya diteliti dari fasal pertama ke fasal terakhir dalam perlembagaan parti PAS? Nizar seterusnya mengambil pimpinan tertinggi PAS, Musyidul Am Nik Aziz Nik Mat sebagai contoh, bertanya sama ada sesiapa pernah melihat beliau menentang anutan agama lain sepanjang 20 tahun beliau memerintah di Kelantan?

"Pada hakikatnya, patung Buddha tidur terbesar di dunia terletak di Kelantan. Tak pernah beliau (Nik Aziz) cuba menyedarkannya (patung Buddha), atau memberi tekanan agarnya (patung Buddha) berdiri tegak..."

Nizar seterusnya menyeru agar hadirin melihat ke depan, menekankan bahawa PAS mendukung idealisme kerajaan bersih, amanah dan saksama, muafakat yang direstui semua pemimpin ketika membentuk Pakatan Rakyat.

Majlis ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 400 orang. Selain pemimpin DAP, Chua Jui Meng dan Tan Kee Kwong dari PKR turut hadir untuk berkongsi pengalaman punca mereka meninggalkan MCA dan Gerakan. Apa yang menarik, ramai antara penduduk tempatan hadir untuk berjumpa dengan Nizar, menyambut ketibaannya dengan tepukan yang gemuruh, malah mengambil gambar bersamanya.

Negara Islam atau Sekular?

Isu "Negara Islam" semakin hangat, diasak bertubi-tubi kepada DAP. Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang pula menangkis serangan ini dengan mendakwa bahawa SUPP berdiam diri ketika bekas PM Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam pada 29 September 2001. Malah, Najib Razak pernah menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah menjadi sebuah negara sekular pada 17 Julai 2007, sebelum beliau menjadi PM.

Bahangnya pertikaian ini semakin dirasai apabila diungkit semula pendirian UMNO dalam isu kalimah Allah, yang semestinya menyinggung perasaan sesetengah penganut agama Kristian dan Katolik yang sudah lama merujuk tuhan mereka dengan kalimah Allah.

ISA atau Akta Hasutan

Pertikaian ini cuba dibubuh tanda noktah, apabila Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed memberi amaran untuk menggunakan Akta Keselamatan Negeri 1960 (ISA) atau Akta Hasutan 1948 ke atas parti politik yang membangkitkan isu kalimah Allah, hari ini.

Amaran ini mencungkil saraf Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang bingkas mempersoalkan, "Mengapa mereka (BN) boleh menggunakan isu Negara Islam pula?"

Sambil mengkritik bahawa larangan ini sebagai amalan "double standard", Lim Kit Siang terus dengan serangannya ke atas SUPP dan BN. Beliau menyelar calon SUPP-BN, Robert Lau Hui Yew bersifat "lebih UMNO" daripada UMNO, kerana mencadangkan agar perbincangan tentang penggunaan kalimah Allah diharamkan dalam parlimen.

Lim Kit Siang berkata, apabila PAS mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa, menggubal dasar yang lebih terbuka, sederhana dan mesra, UMNO telah menjadi semakin ektrem dan eksklusif di sebaliknya.

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview yang membuat liputan dari Sibu, Sarawak. Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang, daripada beberapa laporan Wong Shu Qi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.