Samy lantik anak lelakinya anggotai badan pusat MIC

Oleh G. Manimaran
May 14, 2010

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Penyelesaian kemelut Maika Holdings, sayap pelaburan MIC, bukan sahaja dilihat melegakan Datuk Seri S. Samy Vellu, tetapi turut mendorong anak Presiden MIC itu untuk menerima pelantikan sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.

Sehari selepas jutawan pengendali pelabuhan Tan Sri G. Gnanalingam memuktamadkan proses pengambilalihan Maika Holdings yang berhadapan dengan masalah kewangan hampir dua dekad, S. Vell Paari menghadiri mesyuarat CWC semalam sebagai anggota bertaraf penuh.

Semalam ini beliau menghadiri mesyuarat-mesyuarat CWC sebagai pemerhati selaku penasihat kepada Pergerakan Pemuda MIC.

Pemerhati-pemerhati politik tidak melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang mengejutkan memandangkan Vell Paari sudah lama disebut-sebut akan dilantik sebagai anggot CWC.

Bagaimanapun pelantikan itu dilihat berlaku kira-kira tiga minggu selepas Samy Vellu mengumumkan akan melepaskan jawatan Presiden MIC dalam 14 bulan ini.

Walaupun tidak jelas kesannya tetapi tetapi sesetengah pihak menganggapnya sebagai Samy Vellu mahu memastikan “waris politik” dalam MIC apabila beliau meninggalkan parti sama ada pada 2011 atau 2012.

Pada mesyuarat semalam, Samy Vellu dikatakan telah menolak usul yang dibawa meminta agar beliau kekal sebagai Presiden MIC sehingga 2012. Selaku Presiden, Samy Vellu ada kuasa melantik anggota CWC. Ia merupakan pelantikan terakhir CWC semasa.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Vell Paari, 45, mengesahkan beliau telah menerima pelantikan itu.

Satu-satunya anak lelaki Samy Velu itu memberitahu, beliau akhirnya menerima tawaran pelantikan menganggotai CWC memandangkan isu Maika Holdings sudah selesai.

“Sebagaimana saya pernah memberitahu anda, saya tidak akan menerima apa-apa jawatan politik (dan dalam parti) selagi isu Maika Holdings tidak selesai.

“Semalam, anda tahu bahawa isu Maika Holdings sudah selesai dengan pengambilalihan oleh syarikat Tan Sri Gnanalingam.

“Jadi, sebagaimana saya janjikan saya mahu menyelesaikan tanggungjawab moral saya ini (dalam Maika Holdings) dan kini saya menerima jawatan dalam CWC,” kata Vell Paari, yang menurut pemerhati mempunyai pengaruh kuat dalam keputusan-keputusan dibuat oleh Samy Vellu sejak kebelakangan ini.

Selain memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, Vell Paari juga merupakan Pengarah Urusan Tamil Nesan, akhbar harian milik keluarga Samy Vellu.

Vell Paari pernah dicalonkan supaya bertanding jawatan Naib Presiden MIC pada pemilihan September lalu tetapi ia ditolak.

“Timbalan Presiden Datuk G. Palanivel pernah meminta saya menyertai CWC selepas pemilihan parti tahun lalu, tetapi saya menolak atas alasan belum sampai masa.

“Dan, minggu lalu Setiausaha Agung S. Murugessan meminta saya terima pelantikan sebagai anggota CWC dan akhirnya saya terima kerana isu Maika pun sudah selesai,” katanya.

Bagaimanapun beberapa sumber memberitahu The Malaysian Insider, Samy Vellu tidak memaklumkan secara rasmi pelantikan Vell Paari dalam mesyuarat CWC semalam.

Mesyuarat CWC semalam merupakan yang pertama selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di mana MIC meletakkan wakilnya.

Kelmarin, isu saham Maika Holdings, sayap pelaburan MIC yang ditubuhkan 26 tahun lalu, hampir menemui penyelesaian ekoran kesediaan Gnanalingam untuk membelinya.

Berdasarkan tawaran pengambilalihan bersyarat itu yang dibuat oleh G Team Resources & Holding Berhad, mereka akan membeli Maika pada harga RM100 juta dan membayar kembali wang yang dilaburkan oleh 66,000 para pemegang saham di mana setiap pemegang saham boleh memperolehi 80 sen bagi tiap satu saham.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.