Sibu Ubah Lanskap Politik Sarawak

Oleh Dzulkarnain Taib

SIBU 17 Mei - Keupayaan Pakatan Rakyat Sarawak menumbang SUPP-Barisan Nasional yang menggunakan segala bentuk imbuhan dan cara mengekalkan kekuasaan pada pilihan raya kecil Sibu semalam akan mempunyai impak yang amat besar kepada lanskap dan senario politik di Sarawak dan seterusnya Malaysia.

Ahli Undangan Negeri Padungan, Dominique Ng Kim Ho dalam ulasan beliau mengenai kekalahan calon SUPP-BN, Robert Lau Hui Yew di tangan calon DAP, Richard Wong Ho Leng dengan majoriti tipis 398 undi berkata sejak 30 tahun lalu inilah kali pertama pembangkang memenangi kerusi di dalam pilihan raya kecil.

"Ini satu yang amat menakjubkan kerana sekaligus ia membuktikan pengundi Sibu mahukan pembaharuan dan perubahan yang mereka nantikan sejak sekian lama.

"Kemenangan ini juga menunjukkan undi Melayu-Melanau dan Iban yang selama ini dilihat sebagai benteng kekuatan SUPP-BN di Sarawak kini kian kendur kerana sudah adalah tanda-tanda peralihan kepada Pakatan Rakyat yang jelas," kata Dominique ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau menegaskan adalah penting bagi Pakatan Rakyat mengkaji trend pengundian kaun Melayu-Melanau dan Iban pada PRK Sibu bagi mengekal serta memperkuatkan lagi angin perubahan yang berlaku dalam kelompok pengundi yang penting dan signifikan ini.

Pengundi Melayu-Melanau mewakili 10.5 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar Sibu seramai 54,695 sementara kaum Iban pula sebanyak 22.1 peratus.

"Sibu juga mencipta sejarahnya tersendiri kerana ialah pertama kali Pakatan Rakyat Sarawak sama-sama bertaring sebagai sebuah pasukan dan inilah kemenangan kita yang pertama," kata beliau lagi.

Dengan kemenangan Pakatan Rakyat tambah Dominique, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kini terpaksa melupakan hasrat beliau untuk mengadakan pilihan raya peringkat negeri pada tahun ini.

"BN Sarawak akan menganalisa kekalahan mereka dengan mengkaji di kawasan manakah kekuatan Pakatan Rakyat dan akan merangka strategi untuk menawan kembali undi rakyat Sibu pada pilihan raya akan datang.

"Ini akan memakan masa dan kemungkinan besar Taib akan mengubah tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak semaksima mungkin sehingga tahun depan," ulasnya.

Tarikh tempoh DUN Sarawak yang mempunyai 71 kerusakan berakhir pada Mei 2011 walaupun sebelum ini terdapat ura-ura DUN akan dibubarkan pada September tahun ini.

Dengan kemenangan Richard Wong Pakatan Rakyat kini mempunyai dua anggota parlimen dari Sarawak selain ahli parlimen Kuching, Chong Chieng Jen.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.